
Linda berkata, Liew yang ketika itu merupakan presiden LDP, adalah ahli Parlimen Sandakan sebelum kalah dalam pilihan raya umum ke-13.
“Beliau berpindah ke Batu Sapi dan menang, Saya kalah di tangannya. Apakah kita menyerah kalah hanya kerana kita tewas sekali. Tidak, kita terus berjuang,” kata Linda, yang mewakili Parlimen Batu Sapi selama 2 penggal dari 2010 hingga 2018.
Dalam satu ceramah malam semalam, Liew berkata, jika Linda merupakan calon terbaik seperti digambarkan tentulah beliau menang di Batu Sapi tahun lepas.
Dalam satu program bertemu pengundi hari ini, Linda berkata, “kita temui ramai orang yang kalah banyak kali, tetapi mereka terus berjuang. Kita mesti ada semangat juang.”
Linda menolak dakwaan Liew bahawa beliau tidak berbuat apa-apa semasa berada dalam kerajaan. “Sekarang saya sedang menyediakan semua dokumen bagi membuktikan apakah yang saya lakukan di Batu Sapi ketika menjadi ahli Parlimennya,” kata beliau.
“Sebagai contoh, saya membantu banyak sekolah, menyediakan laluan pejalan kaki, bantu masjid Batu Sapi dan projek perumahan rakyat. Daripada dana wakil rakyat, saya buat banyak kerja kebajikan dan bina infrastruktur asas.
“Saya juga membantu melebarkan jalan ke sebuah tanah perkuburan untuk sebuah persatuan dan membantu gereja,” katanya.
Linda berkata, beliau akan menyediakan senarai kerja yang dilakukannya sebelum ini.
PRK Parlimen Sandakan yang akan berlangsung pada 11 Mei ini menyaksikan pertandingan 5 penjuru antara Linda dengan Vivian Wong yang mewakili Pakatan Harapan (PH) serta 3 calon Bebas iaitu Hamzah Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat.
Kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Stephen Wong, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.
Pada pilihan raya umum ke-14, Wong memperoleh 19,094 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lim Ming Hoo yang memperoleh 8,996 undi.
Sandakan mempunyai 39,777 pengundi berdaftar, dengan kaum Cina menwakili 49% penduduk, Bumiputera Islam (44 %) dan Bumiputera bukan Islam (6%).