
“Saya fikir ia hanya pengumuman, salah satu cadangan yang dipertimbangkan oleh kerajaan,” katanya.
Baru berkata demikian menerusi temubual bersama media Jumaat lalu ketika ditanya mengapa caj kesesakan diumumkan apabila kajian mengenai pengurangan kadar tol belum dikemukakan kepada Kabinet.
Februari lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kerajaan memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisma kutipan tol membabitkan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart (Smart).
Dengan pengambilalihan itu, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada dan caj kesesakan akan diperkenalkan iaitu kadar yang sama dengan kadar tol pada waktu puncak selama 6 jam sehari.
Kadar tol akan dihapuskan pada luar waktu puncak yang cadangan pada masa ini ialah antara jam 11 malam dan 5 pagi.
Baru berkata perunding bebas dilantik untuk mengkaji pengurangan tol untuk menyempurnakan kajian itu pada Mei.
“Kami akan mengkaji dan membincangkannya dalam Kabinet dan keputusan dijangkakan dibuat pada Jun,” katanya sambil memaklumkan caj kesesakan akan diurus syarikat perundingan terbabit.
Biar rakyat nilai kejayaan
Diminta mengulas prestasi kejayaannya sepanjang setahun menerajui Kementerian Kerja Raya (KKR), Baru yang juga ahli Parlimen Selangau mahu rakyat membuat penilaian.
“Bagi saya, bukan saya yang akan memberi ‘score’ atau ‘rating’ bagi saya.
“Itu tidak adil. Bagi saya, biarkan rakyat mengadili kita dengan kejayaan KKR, saya tinggalkan kepada rakyat. Bukan saya,” katanya.
Kejayaan kementerian
Mengenai kejayaan kementeriannya, antaranya KKR mengambil inisiatif memansuhkan kutipan tol pengguna motosikal di 3 tol di Pulau Pinang dan Johor.
Katanya, ia jelas menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memastikan agenda kesejahteraan rakyat dilaksanakan.
“Inisiatif ini membolehkan pengguna motosikal di tol berkenaan menikmati laluan tanpa tol lebih awal dari konsesi.
“Ia mengurangkan beban kos sara hidup pengguna motosikal di antara RM24 sehingga RM66 sebulan, selain meningkatkan kualiti kehidupan rakyat,” katanya sambil memaklumkan 72,000 akan mendapat manfaat menerusi inisiatif itu.
Baru berkata, antara kejayaan lain adalah pembukaan pejabat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Sibu, Sarawak yang merupakan usaha memperluas perkhidmatan selepas pembukaan cawangan di Kuching, Miri dan Bintulu.
“Jumlah cawangan kini 20 di seluruh negara. Proses pendaftaran kontraktor dan pembinaan selepas ini akan memudahkan CIDB melaksanakan tugasan mengawal selia dengan pematuhan Akta Lembaga Industri Pembinaan Malaysia.
“Ia memberi kemudahan kepada kira-kira 974 kontraktor dan 13,000 personal binaan di Kelawit dan Selangau untuk perkhidmatan CIDB.
“Pelanggan tidak perlu ke Kuching yang jauhnya 180km atau ke Bintulu yang jauhnya 166km daripada Sibu,” katanya.
Beliau berkata, ia memudahkan pembangunan Sibu sendiri dengan infrastruktur, selain membuka banyak ruang untuk modal pembangunan mesra alam sekitar hujan tropika.
Selain itu, Baru berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Rina Harun mengenai pembangunan jalan di tanah negeri di Sarawak kerana ini berada di bawah bidang kuasa kementerian tersebut.
Hanya jalan tertentu, seperti Lebuhraya Pan Borneo, serta jalan menuju pelabuhan dan lapangan terbang di negeri itu berada di bawah kementeriannya.