
Beliau mempersoalkan langkah Putrajaya terus berdebat tentang perjanjian antarabangsa itu dengan berkata terdapat isu lain yang perlu diberikan perhatian.
“Kenapa kita perlu terdesak sangat untuk meratifikasi atau membincangkan isu ini sekarang sehingga kita bergaduh sesama sendiri dan antara kerajaan PH dengan institusi Raja-raja Melayu?,” soal beliau di laman Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, ratifikasi Statut Rom juga bukanlah antara janji yang dibuat oleh PH dalam pilihan raya umum ke-14 tahun lepas.
Statut Rom mewujudkan ICC pada 2002 bagi membolehkan pendakwaan dibuat ke atas pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah antarabangsa.
“Ketiga-tiga kuasa besar dunia, iaitu Amerika Syarikat, Rusia dan China tidak meratifikasi Statut Rom,” katanya.
“Rusia tidak boleh dikemukakan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk tragedi MH17 kerana mereka tidak mengiktiraf ICC.
“Apakah kepentingan, kelebihan dan manfaat untuk Malaysia meratifikasi Statut Rom pada masa ini,” soal beliau.
Penerbangan MH17 ditembak jatuh di sebuah kawasan dikuasai puak pemisah Rusia di timur Ukraine pada Julai 2014 mengakibatkan kesemua 298 orang penumpang dan anak kapalnya terbunuh. Dua pertiga daripada mereka merupakan warga Belanda.
Satu penyiasatan antarabangsa diketuai Belanda kemudiannya merumuskan bahawa jet penumpang itu, yang dalam perjalanan dari perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh dengan menggunakan peluru berpandu buatan Rusia.
Moscow menafikan sebarang penglibatan.
Najib juga merujuk kepada sejumlah negara yang tidak meratifikasi Statut Rom termasuk Israel, Arab Saudi, Korea Utara, India dan Pakistan.
Beliau berkata, 8 daripada 10 negara Asean juga tidak berbuat demikian.
Ratifikasi perjanjian ini akan menyebabkan Malaysia perlu mengubah undang-undangnya supaya selaras dengan kehendak statut berkenaan dan membolehkan pihak yang melakukan jenayah genosid, jenayah perang, jenayah pencerobohan dan jenayah kemanusiaan seperti kehilangan paksa individu yang dilakukan oleh kerajaan atau ejen kerajaan, didakwa.
Walaupun Putrajaya sebelum ini memaklumkan akan menyertai Statut Rom, ia kemudiannya menarik balik penyertaan itu berikutan jalan buntu yang berlaku antara kerajaan PH dengan Majlis Raja-raja berikutan dakwaan bahawa perjanjian itu membolehkan Yang di-Pertuan Agong didakwa atas kedudukan sebagai panglima tertinggi angkatan tentera Malaysia.
Najib semalam berkata, kerajaan pimpinan beliau sebelum ini pernah membincangkan ratifikasi statut berkenaan, tetapi dinasihatkan peguam negara ketika itu bahawa perjanjian antarabangsa itu mungkin bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.