
Projek berkenaan dimulakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) untuk mendapatkan sumber bekalan air mentah kedua negeri berkenaan bagi memenuhi keperluan masa depannya dan utara Perak sehingga 2050.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, Sungai Muda, yang merupakan sumber bekalan air mentahnya kini hanya berupaya memenuhi keperluan air Pulau Pinang dan Kedah sehingga 2025.
Chow berkata, kerajaan negeri dan PBA meminta kerajaan sebelum ini supaya melaksanakan skim penyaluran air Sungai Perak menjelang 2025, tetapi tidak mendapat jawapan rasmi.
“Oleh sebab Pakatan Harapan (PH) kini memimpin kerajaan persekutuan, kami mengharapkan kelulusan dan pelaksanaan segera projek berkenaan menjelang 2025,” katanya pada majlis pelancaran Hari Air Sedunia dan sambutan ulang tahun ke-20 perbadanan itu di sini, hari ini.
FMT sebelum ini melaporkan bahawa Perak mahu menjual air terawat kepada Pulau Pinang, sementara Pulau Pinang hanya mahukan air mentah dari Sungai Perak.
Jumaat lepas, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azamu berkata, beliau bertegas dengan keputusan kerajaan negeri mahu menjual air terawat kepada Pulau Pinang.
Rancangan untuk menyalurkan air mentah dari Sungai Perak, yang akan dipam melalui terowong ke Sungai Ijok, dibuat pada 2009.
Kedua-dua sungai berada di negeri Perak, tetapi Sungai Ijok merupakan anak Sungai Kerian yang dikongsi bersama oleh Pulau Pinang, Perak dan Kedah.
Menurut rancangan itu, PBA akan membina loji rawatan air di Sungai Kerian di bahagian Pulau Pinang apabila terowong itu siap.
Pihak berkuasa pusat dilaporkan meluluskan rancangan itu pada 2012, tetapi kerajaan tidak melaksanakannya.
Pembinaan terowong sepanjang 14.8km itu dijangka menelan kos kira-kira RM2 bilion di pihak kerajaan pusat, yang menurut Chow minggu lepas, akan dibiayai oleh pihak swasta.
Kos pembinaan loji rawatan air di Sungai Kerian akan ditanggung oleh PBA.