
Berucap dalam sidang kemuncak meja bulat pada hari terakhir Forum Belt & Road untuk Kerjasama Antarabangsa di Tasik Yangi hari ini beliau berkata, toleransi terhadap nilai dan perbezaan kebudayaan perlu ada kerana tanpanya ia boleh membawa keburukan.
“Kita juga perlu bertoleransi terhadap nilai dan kebudayaan yang berbeza. Kita tidak seharusnya mengenakan satu sistem nilai tunggal terhadap dunia kerana banyak negara yang belum bersedia untuknya.
“Perlu ada usaha untuk menjelaskan perbezaan nilai dan budaya. Negara Asia perlu dibenarkan memelihara nilai-nilainya kerana ia akan mewujudkan persefahaman yang lebih baik.
“Apabila ada nilai-nilai tertentu dikenakan, ia hanya akan merosakkan dan cenderung kepada keganasan,” kata perdana menteri.
Sidang Kemuncak meja bulat yang dihadiri 37 pemimpin dunia di kawasan tasik kira-kira 60km di utara ibu kota Beijing itu dirasmikan oleh President Xi Jinping.
Presiden Xi dalam ucapan perasmiannya antara lain menggesa pelaksanaan projek Belt & Road yang berorientasikan keputusan, untuk dikongsi manfaat bersama dengan negara yang terlibat.
Dr Mahathir dalam ucapannya semasa sidang kemuncak meja bulat itu juga berkata, initiatif Belt & Road bukan sahaja akan memupuk pembangunan dalam kalangan negara yang mengambil bahagian, tetapi juga mewujudkan persefahaman.
“Hanya menerusi persefahaman sahaja kita boleh menuai manfaat dunia yang saling berhubungan,” katanya dan menambah bahawa Malaysia secara langsung terbabit dengan dasar infrastruktur, yang pertama kali dicetuskan oleh Xi kira-kira 6 tahun lepas.
Menurutnya Malaysia percaya initiatif Belt & Road akan menyumbang kepada keamanan dunia dan merapatkan jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin.
Belt & Road adalah initiatif bagi mewujudkan rangkaian jaringan perdagangan antara Timur dan Barat menerusi pembangunan lapangan terbang, pelabuhan, laluan keretapi, laluan paip dan sebagainya.