Sekatan AS: Korea Selatan pelbagai sumber import minyak

Sekatan AS: Korea Selatan pelbagai sumber import minyak

AS mengumumkan tidak menyambung sekatan ke atas Korea Selatan, China, India dan 5 negara lain untuk mengimport minyak Iran yang tamat pada 2 Mei.

Iran menyumbang 13.2% daripada jumlah keseluruhan import minyak Korea Selatan pada 2017, tetapi menurun kepada 5.2% tahun lepas. (Gambar Facebook)
SEJONG:
Korea Selatan akan mempelbagaikan sumber import minyak di samping menyokong pengeksport sedia ada untuk meminimumkan kesan sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran, lapor agensi berita Yonhap.

Naib menteri ekonomi dan kewangan pertama, Lee Ho Seung berkata demikian pada mesyuarat harian di bangunan kerajaan di Seoul, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Langkah itu diambil beberapa hari selepas AS mengumumkan tidak menyambung sekatan ke atas Korea Selatan, China, India dan 5 negara lain untuk mengimport minyak Iran, yang tamat pada 2 Mei.

Tahun lepas, Washington mengenakan sekatan terhadap Iran selepas AS menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 dengan Iran.

Presiden Donald Trump turut memberi amaran “mana-mana negara yang menjalankan urusan perniagaan dengan Iran tidak dibenarkan menjalankan perniagaan dengan AS”.

Iran menyumbang 13.2% daripada jumlah keseluruhan import minyak Korea Selatan pada 2017, tetapi tahun lepas jumlah itu menurun kepada 5.2%.

Lee berkata, kerajaan juga akan mengawasi harga minyak mentah yang semakin meningkat dan mengambil langkah perlu.

Harga minyak mentah di Korea Selatan mencecah purata AS$70.35 setong antara 1 hingga 23 April, naik dari AS$59.1 pada Januari 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.