Jong Un: Keamanan di semenanjung Korea bergantung penuh pada tindak-tanduk AS

Jong Un: Keamanan di semenanjung Korea bergantung penuh pada tindak-tanduk AS

Korea Utara menetapkan sehingga akhir tahun ini untuk AS mengemukakan cadangan perjanjian baru yang boleh diterima Pyongyang.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berkata, pihaknya bersedia mengadakan sidang kemuncak ke-3 dengan AS, tetapi menuntut Washington membuat perjanjian adil dan boleh diterima kedua-dua pihak. (Gambar Reuters)
SEOUL:
Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berkata, keamanan dan keselamatan di Semenanjung Korea bergantung sepenuhnya kepada sikap Washington pada masa depan, lapor agensi berita Yonhap, memetik Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada Jumaat.

Pada sidang kemuncak pertamanya dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Vladivostok pada Khamis, Kim menyalahkan sikap “satu pihak” Washington yang menjadi punca sidang kemuncak ke-2 di Vietnam Februari lalu gagal mencapai sebarang kata sepakat.

“Tiada sebarang perubahan situasi di Semenanjung Korea dan rantau sekitarnya dan telah mencapai titik kritikal menyebabkan keadaan kembali kepada asal jika AS terus bersikap seperti itu.

“Keamanan dan keselamatan di semenanjung Korea sepenuhnya bergantung kepada tindak tanduk AS pada masa depan dan Korea Utara akan bersiap sedia sebarang kemungkinan,” kata Kim.

Dalam ucapan baru-baru ini Kim dilaporkan berkata, pihaknya bersedia mengadakan sidang kemuncak ke-3 dengan Trump, tetapi menuntut Washington membuat perjanjian yang adil dan boleh diterima kedua-dua pihak.

Kim menetapkan sehingga akhir tahun ini sebagai tarikh akhir untuk AS mengemukakan cadangan perjanjian baru yang boleh diterima Pyongyang.

Sejak kegagalan rundingan dengan AS, Korea Utara memperhebat diplomasi dengan negara jirannya, termasuk Rusia, dalam usaha mendapatkan sokongan negara terbabit menjelang rundingan dengan Washington.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.