Malaysia-China tandatangan MoU RM4.56 bilion tingkat dagangan sawit

Malaysia-China tandatangan MoU RM4.56 bilion tingkat dagangan sawit

Memorandum persefahaman itu membabitkan komitmen China untuk tambahan import minyak sawit negara sebanyak 1.9 juta tan.

PUTRAJAYA: Malaysia dan China menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk tempoh 5 tahun yang dianggarkan bernilai RM4.56 bilion bagi meningkatkan dagangan sawit dan pelaburan industri sawit negara.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, ia membabitkan komitmen China untuk tambahan import minyak sawit negara sebanyak 1.9 juta tan.

“Malaysia mempunyai banyak pilihan dalam pengukuhan pasaran sedia ada dan pasaran baru. Umpamanya, 3 syarikat China sudah menandatangani dokumen hasrat pembelian dengan 4 syarikat Malaysia bagi mengimport 1.62 juta tan minyak sawit bernilai RM3.64 bilion tahun ini.

“Persetujuan ini susulan lawatan kerja saya ke China dalam usaha kementerian meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia ke China pada Ogos 2018,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.

Teresa berkata, di samping mengukuhkan pasaran sawit sedia ada, kementerian mengambil langkah mengenal pasti pasaran baru yang berpotensi seperti di benua Afrika, Timur Tengah dan Eropah Timur.

Eksport minyak sawit Malaysia ke China meningkat 9.3% kepada 1.81 juta tan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2018 berbanding 1.65 juta tan yang dieksport dalam tempoh sama pada 2017.

Pada 2017, Malaysia mengeksport sejumlah 2.87 juta tan minyak sawit dan derivatif minyak sawit bernilai RM9.42 bilion ke China.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengambil kesempatan daripada pelaksanaan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk menggesa China meningkatkan pembelian minyak sawit Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.