
Ihsan Perdana ialah syarikat yang mengendalikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi SRC International Sdn Bhd.
Pengurus AmBank cawangan Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, berkata 3 akaun Najib di bank itu ditutup pada 9 Mac 2015.
“Jumlah penutupan bagi 3 akaun itu adalah RM721.57, RM690.11 dan RM101,952.14.
“Wang itu kemudiannya dipindahkan ke akaun Ihsan Perdana melalui cek pada hari sama,” katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd terhadap Najib.
Uma turut mengesahkan pegawai Bank Negara Malaysia, Ahmad Farhan Sarifuddin ke cawangannya pada 6 Julai 2015 untuk mendapatkan butiran beberapa akaun bank.
Katanya, ia mengambil masa seharian untuk mencari butiran itu melalui sistem bank dan beliau hanya menyerahkan maklumat itu kepada Farhan pada malam terbabit.
Pada 26 Disember 2014, katanya, RM27 juta daripada Ihsan Perdana dimasukkan ke salah satu akaun Najib.
Tiga hari kemudian pada 29 Disember, jumlah sama dipindah keluar.
Begitu juga RM10 juta daripada Ihsan Perdana dimasukkan ke akaun Najib pada 10 Februari 2015, sebelum wang itu dipindah keluar pada hari sama.
“Baki dalam akaun terbabit dalam pemindahan itu melebihi RM16,000.”
Ditanya pendakwa raya secara fiat, V Sithambaran sama ada Najib memaklumkan AmBank mengenai sebarang perkara luar biasa dalam transaksi akaunnya, Uma berkata, tiada aduan mengenainya direkodkan.
Katanya, sehingga 3 akaun itu ditutup pada 9 Mac 2015, Nik Faisal Ariff Kamil ialah individu yang diberi kuasa untuk menguruskannya.
Semalam, Uma memberitahu mahkamah yang Nik Faisal, pengarah SRC International dilantik untuk menguruskan akaun Najib di AmBank.
Ahli Parlimen Pekan itu membuka 5 akaun di AmBank sejak 2011, dengan 2 daripadanya ditutup pada Ogos 2013.
Baki 3 lagi akaun ditutup pada Mac 2015.
Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaunnya dari akaun SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Beliau juga didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan untuk pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.
Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Nazlan Ghazali.