
Katanya, ia antara isu yang dibincangkan di peringkat kementerian bersama Agensi Anti-dadah Kebangsaan untuk mencari mekanisme mengatasinya agar kanak-kanak tidak dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi mereka.
“Apabila kita semakin bijak, penjenayah jadi lebih bijak, mungkin sebab mereka lihat ada lubang dari segi undang-undang yang ada.
“Sebab itu pengedar dadah gunakan kanak-kanak sebab mereka tahu apabila kanak-kanak yang mengedar dadah jika ditangkap akan diletak di pusat pemulihan sebab masih di bawah umur,” katanya selepas melancarkan program “Jelajah Kesedaran Bahaya Dadah dan Konvoi Promosi Regatta Lepa Jubli Perak” di sini, hari ini.
Azis yang juga ahli Parlimen Sepanggar berkata, menerusi operasi polis yang disertainya dalam membanteras penyalahgunaan dadah dan tinjauannya sendiri di kawasan Sepanggar, beliau melihat kanak-kanak serta remaja dieksploitasi sebagai pengedar dadah.
“Kebanyakan mereka ini tiada dokumen pengenalan diri dan ini agak merisaukan kita. Justeru, ini akan menjadi cabaran yang perlu kita hadapi kerana ia perlu dikekang daripada berleluasa.”
Sementara itu, Azis berkata, penganjuran konvoi itu menggunakan pendekatan serampang dua mata, iaitu mendampingi masyarakat bagi menyebarkan masalah penyalahgunaan dadah dan mempromosi penganjuran Regatta Lepa Jubli Perak di Semporna pada 26 dan 27 April ini.
Katanya, konvoi itu disertai 100 peserta menggunakan motosikal berkuasa tinggi membabitkan Persatuan Sabah Big Bikers, polis trafik dan AADK.
Beliau berkata, konvoi itu yang memulakan perjalanan hari ini akan singgah di Kundasang, Ranau, Telupid, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu dan menamatkan perjalanan di Semporna.