
Selain bermain bola, bintang bola sepak terkemuka Raheem Sterling turut melakukan kerja amal apabila memutuskan untuk menanggung segala kos pengebumian pemain remaja Crystal Palace, Damary Dawkins yang meninggal dunia pada usia 13 tahun akibat leukemia bulan lepas.
Sebelum itu, pemain sayap Manchester City itu pernah terlibat dengan kempen untuk mencari penderma sel stem yang sesuai untuk Damary yang merupakan penghidap penyakit lymphoblastic leukimia.
“Damary adalah anak muda yang menyentuh perasaan ramai orang termasuk saya,” kata Sterling.
Pemain antarabangsa England berusia 24 tahun itu dijadualkan akan hadir ke majlis pengebumian Damary pada Jumaat ini.
Sterling menyifatkan Damary sebagai “contoh kepada semua orang” yang sentiasa “positif sehingga ke akhirnya”.
Keluarga remaja itu turut melancarkan tabung GoFundMe untuk meraih £15,000 semata-mata untuk pengebumian terbaik untuk Damary.

Pada Mac lalu, Sterling meraikan jaringan kedua untuk England bagi kemenangan 5-0 ke atas Republik Czech dan menyelak jersi untuk menunjukkan pakaian sebelah dalam yang memaparkan dirinya bersama Damary.
Ayah kepada Damary, Tony menyifatkan apa yang dilakukan oleh Sterling itu sebagai sesuatu yang amat menyentuh perasaan.
“Saya tahu Sterling dan Damary sentiasa berhubung selepas pemain itu melawat Damary di hospital. Mereka bermain pool bersama-sama dan turut pernah bertukar jersi.
“Saya masih ingat ketika Crystal Palace tewas kepada Manchester City – Damary mengambil swafoto dirinya dan menghantar kepada Raheem. Mereka saling melakukan usikan kepada satu sama lain mengenai perlawanan tersebut,” katanya.
Sumber: BBC News
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]