Polis ‘sangat lambat’ sebab tunggu arahan Bukit Aman, kata saksi RCI Wang Kelian

Polis ‘sangat lambat’ sebab tunggu arahan Bukit Aman, kata saksi RCI Wang Kelian

Rizani Che Ismail menjelaskan sebarang tindakan diambil hanya selepas mendapat arahan 'pucuk pimpinan'.

Bekas ketua polis Padang Besar, Rizani Che Ismail (kanan) selesai beri keterangan kepada RCI.
PUTRAJAYA:
Bekas ketua polis daerah Padang Besar, Rizani Che Ismail akui tindakan polis menyiasat penemuan kem penyeludupan manusia dan kubur beramai-ramai di Wang Kelian, Perlis, “sangat lambat”.

Beliau, kini penolong pengarah D6 Bahagian Bantuan Teknikal, Bukit Aman memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja bahawa sebarang tindakan diambil hanya selepas mendapat arahan pucuk pimpinan Bukit Aman.

“Bagi saya kes ini agak besar dan gempar. Tidak tahulah kenapa nampak sangat perlahan tindakan (diambil).

“Pada 7 Mac 2018, saya beri taklimat menyeluruh kepada ketua polis Perlis dan timbalan ketua polis Perlis dan mereka kata tangguh dulu.

“Mereka kata akan maklumkan pada pihak atas. Ketua polis Perlis sudah umum pada pucuk pimpinan dan masa itu arahan tangguh dulu,” katanya.

Rizani adalah saksi ke-12 di pendengaran awam di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, yang memasuki hari ke-4.

Terdahulu, saksi ke-11, Junaidi Md Saad, memberitahu RCI bahawa ketua polis daerah Padang Besar mengarahkan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padang Besar tidak meneruskan siasatan kes Wang Kelian pada 8 Mac 2015 selepas penemuan mayat.

Rizani menegaskan polis Perlis menunggu arahan Bukit Aman dan menolak cadangan salah seorang ahli panel pendengaran awam bahawa Bukit Aman cuba menutup kelemahan Kontinjen Perlis.

“Bawah saya ketika itu pada 2015 hanya ada 26 pegawai dan 290 anggota. Saya sanggup jika diberi arahan dan laksanakan tugas tersebut,” katanya.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.