
“MRL ingin menekankan pembinaan projek ECRL yang kini menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya tertakluk kepada Kanun Tanah Negara.
“Antaranya, Seksyen 40 Kanun Tanah Negara, dengan jelas menyatakan semua galian dan bahan batuan yang terkandung atau berada di atas tanah adalah hak milik kerajaan negeri melalui pihak berkuasa negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MRL memetik Seksyen 40 Kanun Tanah Negara iaitu semua harta dalam tanah kerajaan, semua galian dan bahan batuan yang terkandung di dalam atau di atas mana-mana tanah adalah terletak hak hanya kepada pihak berkuasa negeri, kecuali jika hak-hak ke atasnya dilupuskan oleh pihak berkuasa negeri.
MRL menafikan dakwaan berita dan ulasan yang menyatakan hasil mineral dan galian seperti emas dan silika akan dimiliki oleh CCCC ketika pembinaan rangkaian rel ECRL.
Menurut syarikat itu, sama seperti mana-mana kontrak pembinaan, kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) bagi projek ECRL juga mempunyai klausa “antiquities” di mana semua barang antik dan harta berkepentingan yang dijumpai di tapak pembinaan akan dimiliki sepenuhnya oleh majikan tersebut, di dalam situasi ini ia adalah MRL.
MRL juga mengulangi pihaknya adalah pemilik penuh aset rangkaian rel ECRL dalam syarikat usaha sama 50:50 yang akan ditubuhkan bersama CCCC untuk operasi dan penyelenggaraan ECRL.
Ini bertujuan bagi memastikan aset bawah projek ECRL bawah kawalan kerajaan Malaysia, katanya.
MRL, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), juga menjelaskan pelantikan utama ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi dalam syarikat usaha sama akan ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.
Sebagai pemilik aset dan projek ECRL, MRL menyangkal dakwaan berita dan ulasan yang mencadangkan Malaysia berisiko menggadaikan aset dan kedaulatan negara kepada China hasil daripada syarikat usaha sama.
MRL berkata tujuan utama syarikat usaha sama antara MRL dan CCCC ditubuhkan adalah untuk perkongsian risiko operasi dan sokongan teknikal selain Malaysia juga dapat memanfaatkan kepakaran operasi dan penyelenggaraan ECRL menerusi konglomerat yang disokong kerajaan China.
MRL juga memaklumkan menerusi memorandum persefahaman (MoU), tiada jaminan pendapatan atau keuntungan daripada kerajaan Malaysia untuk usaha sama MRL-CCCC dalam menguruskan operasi dan penyelenggaraan.
Pembahagian keuntungan dan kerugian syarikat usaha sama tertakluk kepada MoU yang dipersetujui.
Kerugian operasi ECRL akan ditanggung 50:50 antara MRL dan CCCC, dan jika operasi mencatatkan keuntungan, 80% keuntungan milik MRL dan baki 20% akan dimiliki CCCC, katanya.