Exco Aziz Bari nafi cuba jatuhkan MB Perak

Exco Aziz Bari nafi cuba jatuhkan MB Perak

Naib pengerusi DAP Perak itu berkata, beliau tetap setiap kepada partinya dan isu melompat parti tidak timbul demi menjadi menteri besar Perak.

Abdul Aziz Bari menyifatkan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai kritikannya terhadap Ahmad Faizal Azumu dan dakwaan ‘menukar baju’ DAP kepada PPBM, sebagai tidak tepat serta mengelirukan. (Gambar Bernama)
IPOH:
Naib Pengerusi DAP Perak, Abdul Aziz Bari berkata, beliau tiada rancangan menjatuhkan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, pelantikan Faizal ditentukan Majlis Presiden Pakatan Harapan serta pimpinan parti sebelum mendapat kelulusan istana.

“Bodoh jika saya jatuhkan menteri besar sendirian, tidak logik.

“Saya akan ikut pendirian DAP untuk menyokong Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak dan terus berkhidmat kepada rakyat dengan ikhlas,” katanya selepas melawat bilik media pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai kritikannya terhadap Faizal dan mendakwa dirinya sanggup “menukar baju” DAP kepada PPBM, jika itu diperlukan untuk menjadi menteri besar Perak.

Aziz yang juga pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri menyifatkan laporan itu tidak tepat dan mengelirukan.

“Saya tetap setia sebagai ahli DAP dan isu pertukaran baju kepada parti politik lain tidak timbul. Saya menyeru semua pihak tidak mempercayai pembohongan pembangkang, sebaliknya menyokong usaha kerajaan PH fokus kepada pembangunan negara serta menjaga kebajikan rakyat.”

Katanya, beliau percaya kepada kebebasan media dan berjuang untuknya sebelum menjadi wakil rakyat.

“Namun, kebebasan akhbar ini boleh disalahgunakan, boleh silap. Wartawan bukan malaikat, ada agenda yang ditentukan oleh pemilik akhbar, wartawan juga manusia biasa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.