26 suspek ditahan, angka korban letupan di Sri Lanka lepasi 300

26 suspek ditahan, angka korban letupan di Sri Lanka lepasi 300

Jurucakap polis berkata, setakat ini, operasi mengesan suspek lain masih dijalankan dan orang ramai digesa tidak berhimpun di tempat awam.

Sri Lanka mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung nasional selepas beberapa siri letupan maut berlaku sejak Ahad lalu. (Gambar Reuters)
COLOMBO:
Jumlah kematian akibat pengeboman maut di Sri Lanka sejak Ahad lalu meningkat kepada 310 orang, lapor agensi berita Xinhua memetik polis pada Selasa.

Satu lagi letupan kecil berlaku di Kochchikade, ibu kota Colombo pada petang Isnin, bagaimanapun tindakan pantas skuad pemusnah bom berjaya mengawal keadaan bertambah buruk.

Jurucakap polis, Ruwan Gunasekara berkata, setakat ini, 26 suspek ditahan dan operasi mencari diteruskan bagi mengesan suspek lain.

Katanya, langkah keselamatan terus dipertingkatkan di seluruh negara dan orang ramai digesa tidak berhimpun di tempat awam.

Orang ramai juga diminta segera memaklumkan polis jika menemui bungkusan mencurigakan yang ditinggalkan di jalan raya atau dalam pengangkutan awam.

Semalam, jurucakap Kabinet Sri Lanka, Rajitha Senaratne, memberitahu polis didakwa menerima maklumat kemungkinan berlaku serangan pengganas, tetapi tiada langkah pencegahan diambil.

Katanya, kerajaan akan menyiasat perkara itu dan memohon maaf atas apa yang berlaku.

Presiden, Maithripala Sirisena mengisytiharkan perintah berkurung mulai tengah malam Isnin untuk memastikan keselamatan rakyat dan penyelenggaraan barang keperluan serta perkhidmatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.