
Lawyers for Liberty (LFL) berkata, perincian pindaan ke atas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) dan Akta Perhimpunan Aman (PAA), yang menurut kerajaan akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen akan datang, masih dirahsiakan sehingga kini.
“Kenapakah ia masih dirahsiakan? Berdasarkan pindaan ke atas Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 yang dibentangkan baru-baru ini, kami tidak yakin bahawa pindaan yang dikatakan akan dibuat ke atas Sosma dan PAA akan menghapuskan sisi tidak demokratik undang-undang tersebut,” kata penasihat LFL N Surendran.
Kementerian Dalam Negeri sebelum ini menolak dakwaan bahawa ia melengah-lengahkan usaha pemansuhan beberapa undang-undang kontroversial selepas ia dikritik oleh Suruhanaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kerana dilihat berpatah ke belakang berhubung janjinya untuk memansuhkan akta berkenaan.
Sosma dan PAA adalah antara undang-undang yang dijanjikan oleh PH akan dimansuhkan atau dipinda, selain Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan Akta Pencegahan Keganasan (Pota).
Beberapa bulan selepas berkuasa, pakatan politik itu gagal mendapatkan sokongan Dewan Negara bagi memansuhkan Akta Anti-berita Tidak Benar walaupun ia diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Surendran mempersoalkan “bekas wira kebebasan sivil dan media” yang kini merupakan sebahagian daripada kerajaan.
“Kenapakah mereka berdiam diri terhadap taktik melengah-lengahkan dan teragak-agak Kementerian Dalam Negeri?”, soal beliau.
“Malaysia tidak boleh menganggap dirinya sebuah negara demokratik sebenar sekiranya undang-undang tidak demokratik ini terus berada dalam kanun undang-undangnya.”
Surendran berkata, telah tiba masa untuk kerajaan membentangkan satu rang undang-undang tunggal bagi memansuhkan semua undang-undang yang dijanjikan akan ditarik balik.
“Kerajaan tidak harus cuba membodohkan rakyat dengan mengemukakan pembaharuan setengah masak secara runcit. Kesabaran kami semakin menipis. Hanya pemansuhan penuh undang-undang menindas itu akan diterima oleh jutaan rakyat Malaysia yang mengundi perubahan dalam pilihan raya umum ke-14 yang bersejarah sebelum ini,” katanya.