Elak kaedah barter beli senjata, kata pakar

Elak kaedah barter beli senjata, kata pakar

Negara seperti India, Pakistan, China dan Rusia boleh menjual peralatan ketenteraan pada harga lebih murah.

Malaysia memerlukan pesawat tempur baru, tetapi kerajaan menangguhkan pembeliannya berikutan masalah kewangan yang dihadapi negara.
PETALING JAYA:
Malaysia harus mengelak menggunakan kaedah perdagangan barter bagi membeli senjata, kata seorang pakar pertahanan yang menyebut bahawa peralatan lebih murah boleh diperolehi dari negara tertentu.

Aruna Gopinath, bekas profesor di Universiti Pertahanan Nasional berkata, perdagangan barter menggunakan minyak kelapa sawit untuk membeli senjata, seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Pertahanan, boleh membuka pintu kepada hasil yang negatif.

Malaysia sebaliknya boleh merujuk kepada negara yang bersedia menjual peralatan tentera pada kadar lebih murah.

“Negara seperti India, Pakistan, China, malah Rusia boleh berbuat demikian,” katanya.

Bagaimanapun pakar anti-keganasan Andrin Raj percaya kaedah perdagangan barter adalah jalan terbaik bagi mendapatkan peralatan tentera melalui program ofset.

Minggu lepas, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, kaedah perdagangn barter boleh mengurangkan beban kewangan negara.

Beliau berkata, terdapat negara yang menunjukkan kesediaan untuk menerima minyak sawit sebagai tukaran bagi peralatan ketenteraan.

Berikutan itu timbul kebimbangan kerana ia bermakna Malaysia akan mendapatkan peralatan berkenaan dari Rusia, China atau Pakistan, yang walaupun canggih tetapi dianggap kurang berwmutu berbanding peralatan yang diperolehi daripada pembekal dari negara Barat.

Andrian memberitahu FMT bahawa perdagangan barter boleh mengurangkan defisit kewangan negara.

“Tidak perlu wujud kebimbangan tentang peralatan itu bermutu rendah kerana banyak negara yang melakukannya (perdagangan barter). Ia adalah situasi menang-menang bagi negara yang terlibat dalam pembelian sedemikian.

Aruna berkata, perdagangan barter dengan Zamboanga di Filipina telah membuka pintu kepada pendatang haram dan masalah sosial.

Beliau berkata, Malaysia tidak harus mengambil risiko membeli peralatan ketenteraan yang bermutu rendah.

“Pertahanan sangat penting dan kita perlu berusaha mendapatkan peralatan terbaik pada harga lebih rendah daripada negara yang bersedia berbuat demikian, bukannya terlibat dalam perdagangan barter,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.