Tutup kilang bateri di Jenjarom, Wee bidas PH bukan juara alam sekitar

Tutup kilang bateri di Jenjarom, Wee bidas PH bukan juara alam sekitar

Presiden MCA itu berkata, PH menggunakan isu pencemaran alam sekitar untuk menghasut rakyat, dengan menggambarkan BN sebagai syaitan dan PH pula malaikat yang selalu mengutamakan nyawa rakyat.

Maketab Mohamed sebelum ini berkata, ujian makmal menunjukkan tahap tinggi plumbum dan asid dalam tanah serta air berdekatan kawasan kilang menghasilkan bateri asid-plumbum di Kampung Jenjarom boleh menjejaskan kesihatan penduduk berhampiran.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan bukan juara alam sekitar, sebaliknya ia mengkhianati rakyat, kata Presiden MCA, Wee Ka Siong merujuk isu pencemaran di Jenjarom yang terletak di Selangor di bawah pimpinan gabungan itu.

Katanya, kejadian itu menunjukkan sifat sebenar PH yang cuba menjadi juara alam sekitar selama bertahun-tahun.

Beliau menggesa kilang yang menjadi punca pencemaran di Jenjarom ditutup dan pemiliknya diheret ke mahkamah.

Katanya, pemilik kilang itu perlu menanggung kos pembersihan, rawatan dan ganti rugi untuk mangsa.

Wee memetik laporan FMT berhubung aduan penduduk kampung mengenai tahap pencemaran tinggi didakwa berpunca daripada sebuah kilang berhampiran yang menghasilkan bateri asid-plumbum.

Kilang itu yang beroperasi sejak 2014, terletak kira-kira 300m dari sekolah dan tadika di Kampung Jenjarom. Jaraknya yang dekat, bersama sebuah lagi kilang membuat plastik dalam kawasan itu, menimbulkan kebimbangan penduduk berhubung kesihatan dan kesejahteraan anak mereka.

Wee berkata, isu pencemaran alam sekitar, seperti di Lynas dan Raub, digunakan PH untuk menghasut rakyat, dengan menggambarkan Barisan Nasional sebagai syaitan dan PH pula malaikat yang selalu mengutamakan nyawa rakyat.

“Setelah mengambil alih kerajaan (persekutuan), PH berterusan menyalahkan BN, termasuk kegagalan menangani isu pencemaran kimia di Pasir Gudang. Mereka mendakwa BN membenarkan pelaku menjalankan perniagaan tersebut selama ini.

“Sekali lagi, PH menuding jari kepada BN apabila mereka gagal menutup kilang Lynas. Malah, MCA turut dipersalahkan dan mereka bersungguh-sungguh menutup mulut MCA daripada membangkitkan perkara ini.

“Sekarang, penduduk tempatan di Jenjarom pula ditimpa musibah akibat pencemaran alam sekitar. Penduduk di sana diancam risiko kerosakan jantung, otak dan sistem saraf, selain boleh membawa maut akibat terdedah kepada pencemaran logam berat plumbum.

“Kejadian ini berlaku di Selangor, negeri yang ditadbir oleh PH sendiri sejak lebih 10 tahun. Nampaknya, PH tidak boleh menyalahkan pihak lain,” tulisnya di Facebook hari ini.

FMT melaporkan bekas pengarah Unit Keselamatan Pekerjaan, Kesihatan dan Alam Sekitar Universiti Teknologi Malaysia, Prof Maketab Mohamed membantu penduduk memantau tahap pencemaran plumbum itu.

Beliau berkata, ada tanda-tanda keracunan plumbum di kalangan penduduk dan pekerja kilang itu.

Katanya, ujian makmal menunjukkan tahap tinggi plumbum dan asid dalam tanah serta air dekat kawasan kilang itu yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk berhampiran.

Wee menggesa kerajaan PH segera menutup kilang bateri itu dan mengheret pemilik kilang itu ke mahkamah di bawah Seksyen 34A dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Jabatan Kesihatan wajib membuat pemeriksaan dan ujian darah ke atas 6,000 mangsa di kawasan tercemar, lebih-lebih lagi kilang itu terlalu dekat dengan SJK(T) Jenjarom (1km), SJK(C) Jenjarom (1km), SMK Jenjarom (335m) dan Tadika Hidayatul Ummi (222m).

“Di samping itu, semua pekerja kilang bateri tersebut wajib membuat pemeriksaan rambut dan ujian darah supaya kesihatan mereka tidak terjejas.”

Katanya, siasatan rapi dan kajian forensik oleh pakar alam sekitar serta geologi perlu diteruskan untuk memastikan jika air sungai dan bawah tanah tercemar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.