
Seorang pengurus di hotel itu berkata, lelaki terbabit yang mendaftar di hotel itu pada malam tadi atas nama Mohamed Azzam Mohamed, melancarkan serangan di restoran penuh dengan pelanggan.
Katanya, kejadian itu berlaku pada 8.30 pagi tadi di Restoran Taprobane yang sibuk dengan pelanggan sempena cuti Hari Easter.
“Beliau berada di depan barisan dan melancarkan letupan.
“Salah seorang pengurus kami yang sedang menyambut ketibaan pelanggan antara mangsa yang terbunuh serta-merta,” kata pengurus itu yang enggan dikenali kepada AFP.
Kakitangan lain di hotel itu berkata, pengebom itu yang merupakan warga tempatan mendaftar dengan alamat palsu dan memberitahu beliau berada di bandar itu atas urusan perniagaan.
Komando dari pasukan keselamatan khas dikejarkan ke hotel itu yang terletak berdekatan kediaman rasmi perdana menteri Sri Lanka.
Dua lagi hotel – Shangri-La dan Kingsbury turut diserang sekitar waktu sama dengan 3 lagi gereja yang penuh dengan jemaah menghadiri upacara sempena ketibaan Hari Easter.
Pegawai berkata, kebanyakan 35 warga asing yang terbunuh dalam serangan itu berada di 3 hotel itu.
Di Hotel Shangri-La, saksi berkata, mereka terdengar 2 letupan kuat dan kakitangan memberithau beberapa mangsa terbunuh.
Hotel itu dalam satu kenyataan berkata, letupan itu berlaku kira-kira 9 pagi waktu tempatan di Restoran Table One.
“Kami amat sedih dan terkejut dengan kejadian itu dan kami berdoa untuk keluarga mangsa terjejas.
“Keutamaan kami ialah menjaga keselamatan dan kesejahteraan mangsa terbabit. Sebuah pasukan pengurusan krisis Shangri-La diaktifkan untuk memberi sokongan diperlukan.”
Satu lagi sasaran letupan itu ialah Kingsbury yang merupakan sebuah daripada hotel mewah berhampiran Pusat Dagangan Dunia di pusat bandar Colombo.
“Bagi keseluruhan pasukan Kingsbury, kami berkongsi kesedihan dan berkabung dengan seluruh negara susulan serangan hari ini.
“Pemindahan dan rawatan perubatan bagi kakitangan serta pelanggan yang cedera diberikan serta-merta,” kata hotel itu yang “diasingkan” untuk pemeriksaan keselamatan lanjut.