Tanaman kontan bantu pulih kewangan Felda, kata menteri

Tanaman kontan bantu pulih kewangan Felda, kata menteri

Keputusan berkaitan usaha itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali yang membentangkan pendekatan baru tersebut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan bekerjasama melaksanakan projek tanaman kontan bagi memulihkan masalah kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bernilai RM1 bilion dalam tempoh 5 tahun.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) bersama Azmin Ali yang membentangkan pendekatan baru itu, semalam.

“Bagi memulihkan kembali kewangan Felda, mungkin suku daripada jumlah RM1 bilion digunakan untuk memulakan projek itu. Sememangnya 2 kementerian ini mesti bekerjasama.

“MOA mempunyai kepakaran, iaitu menerusi agensi seperti Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan Fama (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) yang akan ambil peranan membantu Felda dan menjayakan konsep ‘cash crop’ (tanaman kontan) itu,” katanya pada sidang media selepas sesi Town Hall bersama pelanggan MOA, di sini, hari ini.

Menyifatkan langkah itu cabaran besar kementeriannya, Salahuddin berkata, kedua-dua ketua setiausaha kementerian terbabit akan memulakan perbincangan dan langkah seterusnya akan diambil di peringkat kementerian bagi membantu Felda meningkatkan pendapatan mereka.

Pada 10 April lepas, Azmin membentangkan kertas putih “Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)” di Dewan Rakyat yang menjelaskan mengenai isu dihadapi agensi itu serta pelan pemulihan bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan memastikan peneroka terus dibela kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin yang menghadiri program Hari Bertemu Pelanggan anjuran Fama turut mendapat pelbagai maklum balas daripada usahawan tempatan bagi membantu golongan itu untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Beliau berkata, Fama perlu menambah baik platform perniagaan dalam talian www.agrobazaar.com.my kerana jualan secara dalam talian menjadi “trend” terkini dan berpotensi tinggi membantu usahawan tempatan memasarkan produk masing-masing di peringkat lebih tinggi.

Dalam pada itu, pengerusi Fama Ishak Ismail berkata, nilai jualan dalam portal “agrobaazar” mencecah RM4.5 juta tahun lepas yang melibatkan 4,840 pemasar berdaftar.

Pasaran dalam talian adalah medium jualan yang kini mendapat sambutan kerana urusan pembelian lebih mudah, cepat dan perkhidmatan penghantaran turut disediakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.