
Sukarelawan Sekolah Alternatif Tawau, Wan Shakila Wan Azmi berkata, sebanyak RM51,000 diperlukan untuk menjalankan aktiviti dan pembelajaran kepada pelajar di 4 cawangan sekolah alternatif di Sabah.
“Kos itu merangkumi operasi sekolah, bayaran elaun guru sukarelawan, kelengkapan sekolah, pengurusan dan pendidikan anak-anak itu,” katanya ketika dihubungi FMT.
Terdahulu, FMT melaporkan sekolah alternatif khas untuk kanak-kanak tanpa dokumentasi di Sabah dianggap sebagai alat untuk membela nasib golongan itu.
Kanak-kanak tersebut diberikan pendidikan asas seperti mengeja, membaca dan mengira berdasarkan sukatan pembelajaran yang disediakan khas oleh sukarelawan.

Mengulas lanjut, Shakila berkata kutipan sumbangan sudah dimulakan sejak Februari lalu sehingga jumlahnya mencukupi untuk menjamin kelangsungan operasi sekolah.
Tambahnya, sehingga kini, beliau dan pasukan sukarelawan berjaya mengumpul lebih RM17,000 sepanjang hampir 3 bulan berkempen.
“Kami memerlukan sokongan orang ramai untuk menyumbang RM100 bagi mencukupkan jumlah yang diperlukan sebanyak RM51,000 itu.
“Bagaimanapun, kami akan sentiasa memaklumkan jumlah kutipan dari masa ke masa,” katanya.
Shakila bagaimanapun berkata, sumbangan yang disalurkan tidak semestinya berjumlah RM100.
“Sesiapa yang mahu menyumbang berhak menentukan jumlah yang ingin diberi. Hatta RM10 sekalipun,” katanya.
Kepada pihak yang ingin menyumbang, mereka boleh menyalurkannya melalui akaun Prakarsa Alternatif 12113010067737 (Bank Islam).