Apad gantung lesen bas pekerja terlibat kemalangan korban 12 orang di Sepang

Apad gantung lesen bas pekerja terlibat kemalangan korban 12 orang di Sepang

Tempoh penggantungan akan dilanjutkan sehingga syarikat mematuhi sepenuhnya keperluan Kod Amalan Industri-Keselamatan.

Dalam kejadian malam Ahad lepas seorang pemandu bas warga tempatan dan 8 pekerja warga asing maut di tempat kejadian apabila bas yang membawa 44 orang terjunam ke dalam longkang besar berhampiran Kompleks MASkargo. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Lesen pengendali dan kesemua lesen kenderaan syarikat bas pekerja yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan 12 nyawa berhampiran Kompleks MASkargo di Sepang pada 7 April lepas, digantung 7 hari bermula hari ini.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dalam kenyataan hari ini berkata, tempoh penggantungan itu juga akan dilanjutkan sehingga syarikat itu, CJ Global Travel and Tours Sdn Bhd, mematuhi keperluan Kod Amalan Industri-Keselamatan (ICOP-Keselamatan) sepenuhnya.

Katanya, penggantungan itu dibuat susulan audit ICOP dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 9 April lepas mendapati syarikat berkenaan gagal mematuhi keperluan tersebut.

“Ini adalah pelanggaran syarat yang ditetapkan di bawah Seksyen 22 dan Seksyen 41, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya.

Apad berkata, keselamatan penumpang merupakan keutamaan terpenting dan semua pengendali pengangkutan awam darat perlu mendukung standard tertinggi dalam mengendalikan kenderaan mereka.

“Apad tidak akan bertoleransi terhadap sebarang pelanggaran amalan keselamatan. Pengendali yang gagal mematuhi keperluan ICOP Keselamatan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan undang-undang, termasuk membatalkan lesen pengendali dan permit pengendali,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 11.10 malam Ahad itu, seorang pemandu bas warga tempatan dan 8 pekerja warga asing maut di tempat kejadian apabila bas yang membawa 44 orang termasuk pemandu terjunam ke dalam longkang besar sedalam 4 meter berhampiran Kompleks MASkargo.

Dua lagi pekerja warga asing meninggal dunia di Hospital Putrajaya dan seorang di Hospital Serdang.

Pekerja yang terlibat dalam kemalangan itu bernaung di bawah syarikat pembekal tenaga kerja, Mutiara Kayamas Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.