Saksi: RM10.7 juta diberi kepada 15 penerima melalui akaun Najib

Saksi: RM10.7 juta diberi kepada 15 penerima melalui akaun Najib

Pengurus pemprosesan cek AmIslamic Bank berkata RM10.7 juta diberikan kepada 2 parti komponen BN serta beberapa individu dan syarikat.

Bekas perdana menteri, Najib Razak.
KUALA LUMPUR:
Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa RM10.7 juta diberikan kepada 2 parti komponen Barisan Nasional (BN) serta beberapa individu dan syarikat melalui 2 akaun bank milik Najib Razak.

Pengurus pemprosesan cek AmIslamic Bank Bhd, Badrul Hisam Mohamed berkata SRC International Sdn Bhd juga menghantar cek bernilai RM20 juta, dan 1 lagi bernilai RM103,361.17 kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Badrul yang juga saksi ke-5 dalam kes itu, berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.

Ihsan Perdana dilaporkan dibentuk untuk program tanggungjawab sosial korporat oleh Yayasan 1Malaysia Development Bhd.

Semua bayaran itu dibuat pada 2015.

Walaupun nama perdana menteri tidak dinyatakan dengan jelas, Peguam Negara Tommy Thomas mendedahkan dalam pernyataan pembukaannya pada 3 April bahawa Najib mengeluarkan 15 cek peribadi dari akaun Perbankan AmPrivate miliknya.

15 penerima itu ialah Vital Spire Sdn Bhd (RM140,000), Zulkarnain & Co (RM2.5 juta), Centre for Strategic Engagement (RM300,000), Lim Soon Ping (RM238,914), ABX Transmasters Sdn Bhd (RM100, 000), parti politik berpusat di Sabah, Upko (RM1 juta), Yayasan Penyayang Tun Abdul Razak (RM400,000), Solar Shine (RM1 juta), Asmadi Abu Talip (RM50,000), Manisah Othman (RM13,800) Moz Malaysia Sdn Bhd (RM56,500), Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang (RM1 juta), Syadillah Enterprise (RM77,300), Umno bahagian Johor Bahru (RM300,000) dan firma guaman Wan Aishah Mubarak (RM3.5 juta).

Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaunnya dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion dari SRC International daripada Retirement Fund Inc.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.