Lynas nafi dakwaan Adun dakwa kilang langgar undang-undang

Lynas nafi dakwaan Adun dakwa kilang langgar undang-undang

Jawatankuasa semakan kerajaan PH mendapati Lynas mematuhi peraturan, kata Pengarah Urusan Mashal Ahmad.

KUALA LUMPUR:
Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) menafikan kenyataan Adun Semambu, Lee Chean Chung yang mendakwa kilang nadir buminya melanggar undang-undang apabila ia menyimpan bahan sisa berjadual dalam jumlah yang besar.

Pengarah Urusan Mashal Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata kenyataan itu tidak benar, dan ia bukannya perkara baru.

“Pengurusan sisa perkara utama diberi tumpuan jawatankuasa semakan kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang mendapati Lynas mematuhi peraturan yang berkaitan dan kemudahan penyimpanan kami beroperasi dengan baik,” katanya.

Semalam beberapa media melaporkan Lee mendakwa kilang nadir bumi Lynas dilihat melanggar undang-undang dengan menyimpan sisa berjadual dalam jumlah yang besar bagi tempoh yang lama.

Lee mendakwa sehingga Disember 2018, Lynas mengumpulkan 1.13 juta ton sisa Neutralisation Underflow Residue (NUF) dalam 6 tahun operasinya di Gebeng, Kuantan dan ditempatkan di tepi kilangnya.

Mashal menambah penemuan jawatankuasa didapati konsisten dengan semakan beberapa pandangan saintifik dan bebas, termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa.

“Lebih tepat lagi, Peraturan 9 (6) Penyimpanan Sisa Berjadual Bekalan Air Terawat, Kualiti Alam Sekitar (Sisa Berjagual), Peraturan 2005 menetapkan bahawa penjana sisa boleh memohon kepada Ketua pengarah (Jabatan Alam Sekitar) secara bertulis bagi menyimpan lebih daripada 20 MT Sisa Berjadual,” katanya.

Sebagai sisa berjadual bawah peraturan Malaysia, Mashal berkara ia diselia oleh Jabatan Alam Sekitar, yang dari semasa ke semasa memberi kebenaran kepada penyimpanan NUF di tapak dan pada masa yang sama membenarkan Lynas meneruskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berhubung penggunaan semula NUF.

“R&D Lynas menunjukkan NUF mempunyai beberapa kegunaan komersil, termasuk dalam industri pembinaan dan pertanian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.