Undian kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 berlangsung di AFC Club House hari ini menyaksikan skuad Harimau Malaya bakal bertembung dengan pasukan yang berada di ranking FIFA 195 dunia iaitu Timor Leste.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang berada di ranking FIFA 168 dunia terpaksa bermain di pusingan pertama bersama 11 lagi pasukan lain yang mempunyai kedudukan ranking terendah di Asia.
Sebelum undian bermula, Malaysia diletakkan dalam pot 1 bersama Kemboja, Macau, Laos, Bhutan dan Mongolia manakala pot 2 menempatkan Bangladesh, Guam, Brunei, Timor Leste, Pakistan dan Sri Lanka.
Perlawanan akan berlangsung secara timbal balik dengan Malaysia terlebih dahulu akan menjadi tuan rumah.

Di pusingan kedua, 40 pasukan iaitu pasukan yang berada di ranking 1 hingga 34 asia serta 6 pasukan yang menang di pusingan pertama akan dibahagikan kepada 8 kumpulan.
Setiap kumpulan mempunyai 5 pasukan.
Hanya juara kumpulan dan 4 pasukan naib juara yang terbaik akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan layak secara automatik ke kejohanan Piala Asia 2023.
Manakala baki pasukan yang lain akan beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023.
Namun begitu, pemain yang terpilih mewakili negara nanti terpaksa mengorbankan cuti mereka bersama keluarga kerana tarikh perlawanan pusingan pertama bertembung dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang kedua.

Selain itu, skuad negara akan berdepan cabaran berlatih pada bulan puasa dan perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk membawa bekalan gol yang selesa ke tempat lawan.
Memandangkan perlawanan berlangsung pada Hari Raya, jumlah kehadiran penyokong ke stadium mungkin berkurangan kerana kebanyakan diantara mereka akan pulang ke kampung halaman masing-masing.
SUMBER : semuanyabola.com
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]