
Beliau berkata, penyusunan barisan exco masih diperincikan ketika ini.
“Seperti yang saya cakap, saya akan memilih exco yang saya selesa bekerja dengan mereka…insya Allah kita akan lihat nama-nama itu (senarai baru).
“Nanti saya umumkan…insya Allah beberapa hari lagi sebelum minggu depan,” katanya di Kota Iskandar di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya status rombakan barisan exco dan jika ada pengguguran atau nama baru dalam senarai berkenaan.
Sahruddin yang juga Adun Bukit Kepong mengesahkan tiada tambahan portfolio kepada 11 portfolio, termasuk yang dipegang menteri besar kini.
Semalam, sebuah portal melaporkan barisan exco Johor yang baru akan menyaksikan pengguguran 2 exco lama, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, Mazlan Bujang dan Tan Hong Pin, pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi.
Mazlan merupakan Adun Puteri Wangsa daripada PPBM dan Tan ialah Adun Skudai daripada DAP.
Sahruddin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene, Ahad lalu, menggantikan Osman Sapian yang meletak jawatan 8 April lalu.
Sehari sebelum itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menetapkan syarat supaya menteri besar baru merombak exco negeri itu.