
Hakim, Collin Lawrence Sequerah menetapkan 3 hingga 7 Februari, 10 hingga 14 Februari dan 17 hingga 21 Februari 2020 untuk perbicaraan dan 25 Mei ini untuk pengurusan kes lanjut.
Terdahulu, Hasanah, 61, yang diwakili peguam, Shaharudin Ali meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mahadhir Mohd Khairudin memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil 15 hingga 20 saksi.
Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam, iaitu ketua pengarah penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan antara 30 April lalu dan 9 Mei tahun lalu di pejabat ketua pengarah Bahagian Penyelidikan JPM di Kompleks JPM.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.