Adun dakwa Lynas langgar akta simpan 1.13 juta tan sisa buangan

Adun dakwa Lynas langgar akta simpan 1.13 juta tan sisa buangan

Adun Semambu, Lee Chean Chung berkata, Lynas menyimpan 1.13 juta tan sisa buangan 'Neutralization Underflow Residue' yang dikumpul sepanjang 6 tahun pengoperasiannya, di tepi kilangnya di Gebeng.

Lee Chean Chung berkata, laporan EIA berhubung sisa buangan NUF Lynas tidak memenuhi kriteria diperlukan untuk memastikan kesejahteraan, kesihatan rakyat dan alam sekitar dijaga.
KUANTAN:
Adun Semambu, Lee Chean Chung mendakwa kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd melanggar undang-undang kerana menyimpan sisa buangan terjadual di kawasan kilang mereka dalam kuantiti sangat besar dan bagi tempoh lama.

Wakil rakyat PKR itu berkata, sehingga Disember 2018, Lynas mengumpul 1.13 juta tan sisa buangan “Neutralization Underflow Residue” (NUF) dalam tempoh 6 tahun pengoperasiannya, dengan menyimpannya di tepi kilang.

“Sedangkan jika mengikut Peraturan 4: Pelupusan Buangan Terjadual dalam Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, kuantiti bahan buangan terjadual yang dikumpulkan di tapak tidak melebihi 20 tan metrik selama 180 hari atau kurang.”

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan ulasan mengenai laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) berhubung sisa buangan NUF bagi Lynas kepada Jabatan Alam Sekitar di sini, hari ini.

Katanya, laporan EIA itu tidak memenuhi kriteria diperlukan untuk memastikan kesejahteraan, kesihatan rakyat dan alam sekitar dijaga kerana tapak pelupusan sisa NUF itu terletak di Gebeng.

“Gebeng merupakan kawasan tapak industri, bukannya tapak pelupusan bagi sisa buangan NUF ini. Maka, sisa NUF ini tidak sepatutnya berada di kawasan perindustrian Gebeng. Oleh itu, laporan EIA ini wajar ditolak kerana ia dilihat tidak memenuhi kriteria diperlukan.”

Sementara itu, Pengarah JAS Pahang, Rosli Zul berkata, pihaknya terbuka untuk menerima pandangan dan maklum balas daripada mana-mana pihak.

“Kita akan menilai maklum balas yang diterima dan jika ada kesahihan, kita akan mengambil tindakan bagi penambahbaikan.

“Jika ada kaitan dengan jabatan lain, kita akan membawa perkara tersebut kepada pihak terlibat.”

Beliau berkata, setakat ini, JAS Pahang menerima maklum balas berkaitan laporan EIA yang kebanyakannya daripada individu perseorangan.

“Maklum balas ini bagi melihat sama ada laporan EIA yang dikeluarkan baru-baru ini boleh diterima atau perlu penambahbaikan dan kita mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk memberikan maklum balas, di mana tempoh yang diberikan bermula awal April sehingga 19 April ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.