Jajaran ECRL diubah ke Jelebu, perhentian di Gombak dibatal, kata Daim

Jajaran ECRL diubah ke Jelebu, perhentian di Gombak dibatal, kata Daim

Daim Zainuddin berkata, jajaran itu bermula dari Kota Bharu ke Mentakab dan memintas Bentong untuk ke Jelebu dan disambung ke Kuala Klawang, Bangi, Kajang, Putrajaya dan Pelabuhan Klang.

Pembinaan ECRL akan disambung semula pada kos yang dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wakil khas perdana menteri, Daim Zainuddin berkata, jajaran baru projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) akan meliputi Jelebu di Negeri Sembilan.

Beliau yang sedang berada di Beijing untuk menemui wakil China berkata, projek itu yang disambung semula pada kos lebih rendah iaitu RM44 bilion, akan bermula dari Kota Bharu, Kelantan ke Mentakab di Pahang.

Katanya, perhentian asal di Gombak dibatalkan kerana jajaran itu akan ke Jelebu di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, stesen Jelebu dan stesen Kuala Klawang akan disambung ke Bangi, Kajang, Putrajaya dan Pelabuhan Klang.

Daim berkata, perbincangan dengan China kali ini hanya mengenai ECRL dan tidak membabitkan isu lain, termasuk pembelian minyak sawit.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan projek ECRL disambung semula dengan kos pembinaan fasa 1 dan 2 dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion.

Katanya, kos asal RM65.5 bilion dikurangkan sebanyak 32.8% susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company.

Kerajaan menggantung projek itu sejak Julai 2018 disebabkan kos pembinaan terlalu tinggi.

Cadangan asal projek ECRL itu menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor ke Pengkalan Kubor, Kelantan.

Daim berkata projek pembinaan ECRL itu akan dimulakan semula secepat mungkin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.