
“Saya tidak salahkan mereka, mereka berhak menolak mana-mana rang undang-undang,” kata Dr Mahathir Mohamad kepada pemberita selepas usul kerajaan tewas dalam belah bahagi.
Ditanya apakah perasaannya selepas itu, Mahathir menjawab: “I feel great, anything else?”
Terdahulu, kerajaan gagal memperoleh sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat untuk meminda Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.
Seramai 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan itu, dengan 59 orang berkecuali. Sejumlah 148 undi diperlukan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan itu.
Pindaan yang dicadangkan itu mahu menyenaraikan Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu sebagai Negeri-negeri Tanah Melayu, manakala Sabah dan Sarawak sebagai Negeri-negeri Borneo.
Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Borneo membentuk negeri-negeri persekutuan.