Tiada undang-undang boleh dakwa pihak terlibat kes kehilangan paksa, kata Suhakam

Tiada undang-undang boleh dakwa pihak terlibat kes kehilangan paksa, kata Suhakam

Putrajaya perlu melihat Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa.

Pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai.
PETALING JAYA:
Undang-undang berkaitan kes individu hilang secara paksa perlu digubal berikutan laporan yang menamakan Cawangan Khas Bukit Aman sebagai pihak bertanggungjawab e atas kehilangan aktivis Perlis Hope, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata, sehingga ke hari ini masih tidak ada peruntukan dalam undang-undang negara yang membolehkan pendakwaan dibuat membabitkan kes kehilangan individu secara paksa.

“Pinda undang-undang. Undang-undang membabitkan penculikan yang terkandung dalam Akta Penculikan hanya menyatakan jika penculikan melibatkan tebusan, ia akan menjadi penculikan. Tetapi tidak ada undang-undang berkaitan perkara ini (hilang secara paksa).

“Kita harus lihat konvensyen antarabangsa berkaitan kehilangan secara paksa, bukan sekadar hilang. Jika ia dapat dilaksanakan dan pesalah boleh didakwa di bawah undang-undang negara, mka ia adalah satu langkah besar ke hadapan,” katanya dalam program bual bicara di Astro Awani, malam tadi.

Konvensyen yang dimaksudkan Mah adalah Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED).

Terdahulu, Suhakam dalam laporannya berkata, Amri dan Koh menjadi mangsa kehilangan paksa oleh ejen kerajaan dan menamakan Cawangan Khas Bukit Aman sebagai pihak yang bertanggungjawab.

Bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, beliau sedia disiasat berhubung penemuan Suhakam yang menyalahkan Cawangan Khas Bukit Aman dalam kehilangan paksa 2 aktivis itu.

Mah berkata, sepanjang terlibat dalam bidang kehakiman dan perkhidmatan undang-undang, beliau pernah melalui pelbagai kes penculikan, tebusan, bunuh dan individu ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun tidak pernah terlibat dalam kes individu hilang secara paksa.

“Ini adalah apa yang yang berlaku baru-baru ini dan apa yang lebih menarik perhatian adalah dalam tempoh masa 3 bulan, kita mempunyai 3 kes berbeza dan 4 orang hilang dan sehingga ke hari ini tidak ada sesiapa tahu di mana mereka berada,” katanya.

Amri, seorang aktivis dari Perlis, hilang pada penghujung 2016, sementara Koh dilihat diculik oleh beberapa orang pada siang hari pada Februari 2017.

Amri didakwa menyebarkan ajaran Syiah, tuduhan yang dinafikan isterinya sementara Koh disiasat pihak berkuasa agama kerana cuba mengkristiankan orang Islam ketika menganjurkan satu acara dihadiri orang Islam di sebuah gereja.

Jelas Mah, Suhakam tidak memusuhi mana-mana pihak atau menentang pasukan polis berhubung dapatan inkuiri yang menyatakan Cawangan Khas Bukit Aman terlibat dalam kehilangan paksa Amri dan Pastor Koh.

“Ia bukan di antara kita (Suhakam) menentang mereka (polis). Saya bercakap berkaitan undang-undang dan keadilan. Apa yang betul buat ahli keluarga terbabit dan individu yang hilang.

“Jika polis tidak lakukan sebarang kesalahan, bebannya adalah kepada kami untuk membuktikannya. Jadi silalah yakinkan kami bahawa tidak ada sebarang kesalahan dari pihak sana. Kami sudah cukup gembira.

“Kami tidak katakan bahawa Cawangan Khas mesti bertanggungjawab. Ia cuman berdasarkan bukti yang kami dapat daripada kesimpulan yang dibuat. Sekiranya kami salah, saya orang pertama yang akan mengaku bahawa kami sudah buat kesilapan,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, Putrajaya tidak akan campur tangan siasatan terhadap polis berhubung dakwaan Suhakam tentang penglibatan Cawangan Khas dalam kehilangan Amri dan Pastor Koh.

Dr Mahathir berkata, aduan membabitkan polis akan ditangani Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), nama baru bagi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ditukar nama dan diperkasakan pada 21 September lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.