TPM: Percanggahan pendapat isu Lynas perdebatan sihat

TPM: Percanggahan pendapat isu Lynas perdebatan sihat

Wan Azizah Wan Ismail menafikan wujud pergaduhan antara menteri dan timbalan menteri berhubung isu Lynas.

Wan Azizah Wan Ismail berkata masalah sisa pembuangan radioaktif yang dihasilkan Lynas perlu diselesaikan bersama-sama.
KUALA LUMPUR:
Percanggahan pendapat yang berterusan dalam kalangan anggota Kabinet mengenai masa depan Lynas Malaysia adalah perdebatan sihat, kata timbalan perdana menteri.

Wan Azizah Wan Ismail turut menafikan wujud pergaduhan antara menteri dan timbalan menteri walaupun ada percanggahan kenyataan daripada mereka berhubung isu itu.

“Itu sebab kita melihat isu Lynas ini ada dua cara, satu dari segi ekonomi, menteri pembangunan usahawan nak keusahawanan ditingkatkan dan menteri alam sekitar mengambil kira isu pencermaran Sungai Kim Kim.

“Jadi isu Lynas kita mesti pertimbangkan antara kita mahukan pelaburan dan memperkasakan ekonomi,” katanya di lobi Parlimen.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan beberapa ahli parlimen DAP termasuk Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin perlu “disekolahkan” dengan mereka seharusnya mengurangkan berpolitik dalam mentadbir.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof menegaskan, mereka harus jujur dan ikhlas dalam mentadbir urus negara dengan berpandukan kepada fakta dan bukannya untuk meraih populariti dan sokongan politik.

Isnin lalu, Fuziah mengingatkan Redzuan tiasa “locus standi” untuk mengulas isu itu.

Fuziah merujuk kenyataan Redzuan bahawa Putrajaya belum membuat keputusan muktamad berhubung penghantaran balik sisa radioaktif Lynas ke Australia, walaupun Yeo mendakwa pasukan petugas ditubuhkan kerajaan untuk memudahkan proses itu.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata masalah sisa pembuangan radioaktif yang dihasilkan Lynas perlu diselesaikan segera.

Katanya, semua pihak perlu sama-sama memikirkan cara terbaik untuk menangani masalah itu dan setakat ini kerajaan belum membuat keputusan sama ada membenarkan Lynas untuk diteruskan atau tidak.

“Sebab Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengatakan keputusan mutakhir akan dibuat di peringkat Kabinet selepas dia ambil kira semua isu itu diperbincangkan dan diperhalusi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.