Suhakam salahkan Cawangan Khas atas kehilangan aktivis Amri

Suhakam salahkan Cawangan Khas atas kehilangan aktivis Amri

Inkuiri Suhakam ke atas kehilangan Amri Che Mat mendapati beliau menjadi mangsa kehilangan paksa.

Amri Che Mat hilang sejak 24 November 2016.
KUALA LUMPUR:
Panel inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia hari ini memutuskan aktivis berpangkalan di Perlis, Amri Che Mat ialah mangsa kehilangan paksa, kira-kira 28 bulan selepas beliau dilaporkan hilang berdekatan rumahnya di Kangar.

“Panel ini mempertimbangkan pandangan yang kehilangan paksa itu dilakukan ejen negara, iaitu Cawangan Khas Bukit Aman,” kata pengerusi panel itu, Mah Weng Kwai.

Beliau berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan keterangan isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin yang seorang pegawai Cawangan Khas dari Perlis, Sarjan Shamzaini Mohd Daud memberitahunya pada malam 12 Mei 2018, Cawangan Khas di Kuala Lumpur yang melakukan penculikan itu.

“Asas bagi kesimpulan ini juga timbul daripada bukti langsung Syed Amri dan Saiful Afdzan,” katanya merujuk 2 saksi inkuiri itu.

“Syed Amri dalam keterangannya berkata, beliau nampak sebuah Toyota Fortuner dikepung di Jalan Padang Behor, manakala Saiful Afdzan memberitahu beliau nampak pemandu Toyota Fortuner dikejar beberapa lelaki di depan restorannya.”

Mah yang juga pesuruhjaya Suhakam, mempengerusikan inkuiri selama setahun ke atas kehilangan Amri yang menyaksikan 25 saksi, termasuk pegawai kanan polis dan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin dipanggil panel itu.

Amri ialah pengasas persatuan kebajikan Perlis Hope yang hilang sejak 24 November 2016.

Isterinya dilaporkan berkata, saksi ternampak 5 kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Kangar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.