Jho Low bidas Putrajaya jual Equanimity pada ‘harga rendah’

Jho Low bidas Putrajaya jual Equanimity pada ‘harga rendah’

Ahli perniagaan itu berkata, lelongan Equanimity gagal dan proses jualan 'telus' mengalami banyak perubahan mendadak kerana sebahagian besar berpunca daripada ketidakcekapan Putrajaya.

Jho Low mendakwa kekalahan PH dalam 2 PRK baru-baru ini disebabkan ketidakcekapan kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad.(Gambar Bloomberg)
KUALA LUMPUR:
Ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low, hari ini membidas kerajaan menjual kapal layar mewah Equanimity pada “harga rendah” kepada Genting Malaysia Bhd.

Beliau yang diwakili peguamnya menerusi Wells Haslem Mayhew Strategic Public Affairs dalam satu kenyataan hari ini berkata, Low turut menyentuh mengenai politik dengan mendakwa kekalahan Pakatan Harapan dalam 2 pilihan raya kecil baru-baru ini disebabkan ketidakcekapan mereka.

“Harga jualan sangat rendah yang diterima kerajaan Mahathir (Mohamad) untuk kapal layar Equanimity ialah bab akhir dalam satu lagi kisah ketidakcekapan rejim dan tidak menghiraukan kedaulatan undang-undang.”

Beliau mendakwa jika kerajaan tidak “menyita secara tidak sah” Equanimity dari Indonesia dan melabuhkannya di “persekitaran berbahaya” di Pelabuhan Klang, kapal itu boleh mengekalkan nilainya dan “mengelakkan dijual pada harga rendah”.

Beliau berkata, hasil jualan itu berkurangan kerana kos penyelenggaraan kapal terbabit menelan belanja RM14.3 juta.

“Ia menyebabkan kerajaan Mahathir memerlukan 2 kali ganda masa daripada yang dijanjikan mereka untuk menjual kapal itu, lelongan itu gagal dan proses jualan ‘telus’ dilakukan kerajaan Mahathir pada permulaannya mengalami banyak perubahan mendadak – sebahagian besarnya disebabkan ketidakcekapan kerajaan sendiri.

“Kerajaan Mahathir menunjukkan mereka sedia menurunkan nilai Equanimity dalam serangan silap ke atas lawan politik mereka.

“Tidak hairanlah keputusan PRK baru-baru ini menunjukkan kebimbangan rakyat Malaysia yang semakin meningkat.”

Low menyifatkan tindakan itu sebagai aksi perhubungan awam yang gagal.

Katanya, kenyataan itu dibuat kerana “walaupun Equanimity dimiliki Equanimity (Cayman) Ltd”, beliau “tidak dapat mengelak daripada diheret dalam liputan media atas tindakan kerajaan Malaysia salah kendali kapal itu”.

Low dikehendaki untuk disoal siasat pihak berkuasa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas dakwaan mencuri berbilion dari 1MDB.

Beliau sedang menyembunyikan diri dan mengupah peguam serta agensi perhubungan awam untuk melindungi imejnya.

Hari ini, Putrajaya mengumumkan Equanimity dijual kepada syarikat tujuan khas (SPV), Genting pada harga AS$126 juta.

Peguam Negara, Tommy Thomas dilaporkan berkata, Genting akan membayar AS$126 juta kepada mahkamah akhir bulan ini dan ia adalah tawaran terbaik dalam 5 bulan, sejak kerajaan mengumumkan penjualan Equanimity pada Oktober 2018.

Katanya, walaupun ia gagal mencapai harga pasaran AS$130 juta berdasarkan penilaian Winterbotham, tetapi pulangan bersih diperolehi Putrajaya adalah yang terbaik dan lebih tinggi daripada jangkaan kerajaan.

“Ini bakal menjadi jumlah pemulihan daripada skandal 1MDB yang tertinggi setakat ini untuk kerajaan Malaysia dalam jangka masa cuma 8 bulan dari tarikh tindakan ini dimulakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.