Gagal isytihar pendapatan, presiden bola sepak Jerman letak jawatan

Gagal isytihar pendapatan, presiden bola sepak Jerman letak jawatan

Ia susulan Reinhard Grindel menerima jam tangan bernilai AS$6,729 daripada rakan sejawatnya dari Ukraine.

Reinhard Grindel terpaksa melepaskan jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Jerman yang paling singkat dalam sejarah 114 tahun penubuhannya.
BERLIN:
Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) Reinhard Grindel meletak jawatan selepas diselubungi dakwaan gagal mengisytiharkan pendapatannya, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan rasmi DFB pada Selasa.

Presiden berusia 57 tahun itu terpaksa melepaskan jawatannya selepas menerima jam tangan bernilai €6,000 (AS$6,729) daripada rakan sejawatnya dari Ukraine, Grigory Surkis, yang juga ahli Jawatankuasa Eksekutif UEFA.

“Dengan rasa hormat dan amat memahami, saya mengambil maklum peletakan jawatan Reinhard Grindel,” kata naib presiden DFB Reinhard Rauball.

“Tekanan terhadap beliau meningkat secara berterusan di pelbagai tahap sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Oleh itu, ia dilakukan dengan bola sepak Jerman bagi memastikan satu permulaan baru,” katanya.

Buat masa ini, 2 naib presiden DFB Rainer Koch dan Reinhard Rauball akan mengambil alih pentadbiran sehingga September.

“Saya amat terkejut kerana terpaksa melepaskan jawatan sebagai presiden DFB hanya disebabkan isu sedemikian,” kata Grindel.

“Saya memohon maaf atas tindakan saya menerima jam itu, yang dijadikan teladan. Surkis tidak mempunyai kepentingan ekonomi dengan DFB. Beliau tidak pernah meminta sebarang bantuan sebelum atau selepas insiden itu.”

Selepas mengambil alih jawatan pada 2016, Grindel berjanji untuk lebih telus namun selepas menerima hadiah yang tidak diisytiharkan, beliau terpaksa melepaskan jawatan sebagai presiden DFB yang paling singkat dalam sejarah 114 tahun penubuhannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.