Ahli Parlimen mahu KPN disiasat penculikan Amri, Koh

Ahli Parlimen mahu KPN disiasat penculikan Amri, Koh

Charles Santiago kata Cawangan Khas patut lindungi rakyat, tapi Suhakam mempertanggungjawabkan Cawangan Khas atas kehilangan Amri dan Koh.

KUALA LUMPUR: Menyifatkan penemuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa polis menculik aktiviti Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh sebagai “berita paling menakutkan yang pernah dibaca mutakhir ini”, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyeru siasatan dibuat terhadap Ketua Polis Negara, Fuzi Harun.

Beliau juga mahu kerajaan menyiasat pegawai-pegawai polis lain yang terlibat dalam jenayah itu dan mengisytiharkan kes-kes itu sebagai kehlangan paksa.

Beliau berkata kes tersebut menunjukkan perlunya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan tanpa lengah.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh lagi membenarkan polis menyiasat diri sendiri.

Pagi tadi, Suhakam mempertanggungjawabkan Cawangan Khas atas kehilangan Amri dan Koh.

Amri, seorang aktivis dari Perlis, hilang pada penghujung 2016, sementara Koh dilihat diculik oleh beberapa orang pada siang hari pada Februari 2017.

Santiago berkata, kesimpulan Suhakam bahawa Amri dan Koh mangsa kehilangan paksa “secara rasmi menjadikan negara kini negara polis”.

Katanya, Cawangan Khas sepatutnya menjalankan tugas melindungi rakyat.

Menyifatkan kehilangan paksa sebagai jenayah ke atas kemanusiaan, Santiago berkata:

“Adalah jelas ketua polis yang akan bersara Fuzi Harun, menyembunyikan maklumat mengenai kehilangan Koh dan Amri walaupun keluarga mereka berhadapan dengan harapan dan kecewa,” katanya.

“Ini amat kejam dan Fuzi mesti disiasat kerana menyembunyikan pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.

Katanya, Fuzi mesti berterus terang mengenai keberadaan kedua-dua lelaki itu, serta Pastor Joshua Hilmy dan isteri, Ruth Sitepu yang hilang pada November 2016.

“Penculikan ini menimbulkan ketakutan terhadap vigilantisme agama kerana Joshua, seorang Melayu Islam yang masuk Kristian, disyaki cuba mengkristiankan orang Islam,” katanya.

Santiago ambil maklum Amri dituduh menyebarkan ajaran Syiah, tuduhan yang dinafikan isterinya, dan Koh disiasat pihak berkuasa agama kerana cuba mengkristiankan orang Islam ketika menganjurkan satu acara yang dihadiri orang Islam di sebuah gereja.

“Menculik orang-orang ini menyalahi kuasa polis. Polis tiada hak mengambil mereka tanpa perlindungan undang-undang dan jika perlu, sepatutnya mendakwa mendakwa mereka di mahkamah.”

Sudah tiba masanya IPCMC yang dicadangkan 14 tahun lalu ditubuhkan, katanya.

“Kita perlu rasa selamat di negara sendiri. Kita perlu percaya polis sentiasa menyokong dan melindungi kita, tapi tidak demikian.

“Laporan Suhakam akan melunturkan lagi persepsi umum terhadap polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.