Perlu masa kaji semula undang-undang penindas, kata timbalan menteri

Perlu masa kaji semula undang-undang penindas, kata timbalan menteri

Azis Jamman berkata ini untuk elakkan "dolak-dalik" di masa depan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu lebih masa untuk kaji semula undang-undang yang menekan bagi mengelak berlaku “flip-flop” (dolak-dalik) di masa depan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman berkata, lebih baik meneliti perkara tersebut secara menyeluruh sebelum keputusan dibuat.

“Tidak mengapa kalau ambil masa, selama mana keputusan keputusan itu betul dan tiada ‘flip-flop’.

“Kita tidak mahu keadaan di mana sekiranya undang-undang dipinda atau dimansuhkan, kemudian kita dapati ia silap,” katanya ketika sesi soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab Ronald Kiandee (PH-Beluran) yang mahu tahu status beberapa undang-undang seperti Akta Pencegahan Jenayah (Poca), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau Sosma, dan Akta Pencegahan Keganasan (Pota).

Azis berkata, kementerian tubuhkan 2 jawatankuasa untuk meneliti 6 akta bawah kementerian berkenaan.

Jawatankuasa itu diwakili agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Peguam Negara, polis, pengamal undang-undang, ahli akademi, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Majlis Peguam.

Katanya, ahli jawatankuasa membangkitkan beberapa isu dan mengemukakan pandangan mengenai akta-akta itu, terutama berhubung tempoh tahanan, kuasa polis dan semakan kehakiman.

“Pada masa ini Kementerian Dalam Negeri meneliti semua pandangan jawatankuasa dan kami akan bentangkan cadangan-cadangan kepada Kabinet untuk buat keputusan,” katanya.

Jika diluluskan, katanya, cadangan tersebut akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan sebelum digubal sebagai undang-undang, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.