Muhyiddin: Tak perlu undang-undang ‘lese majeste’ seperti di Thailand

Muhyiddin: Tak perlu undang-undang ‘lese majeste’ seperti di Thailand

Ia bagi melindungi kesucian institusi diraja daripada dihina dan diserang individu dan pihak tidak bertanggungjawab.

Muhyiddin Yassin berpendapat akta sedia ada mencukupi bagi membendung serangan terhadap institusi diraja.
KUALA LUMPUR:
Tiada keperluan untuk mewujudkan undang-undang seperti “lese majeste” di Thailand setakat ini bagi melindungi kesucian institusi diraja daripada dihina dan diserang individu dan pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak berbincang mengenai perkara itu kerana berpendapat akta sedia ada mencukupi untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.

“Setakat ini, kami tidak berbincang sama ada keperluan sesuatu akta seperti yang ada di Thailand iaitu undang-undang khas untuk raja-raja seperti lese majeste,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mewujudkan akta baru seperti undang-undang Lese Majeste yang diamalkan di Thailand bagi membendung serangan terhadap Institusi Diraja.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata peruntukan di dalam Akta Hasutan 1948 akan diteliti untuk dimasukkan di bawah Kanun Keseksaan bagi kesalahan menghina institusi Diraja.

Beliau berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet untuk melihat kewajaran dan keperluannya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Polis Diraja Malaysia menyiasat 97 kes pembuli media sosial yang menghina Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong sejak 2012 hingga 29 Mac lepas, dengan 11 individu dituduh di mahkamah mengikut Akta Hasutan 1948 atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata pelbagai langkah diambil untuk menjamin kes penghinaan tidak berulang antaranya melalui kempen kesedaran bersama orang awam, membuat kajian terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia serta menubuhkan unit pemantau dan siasatan terhadap penyalahgunaan media sosial di peringkat daerah dan kontinjen polis.

Tegas Muhyiddin, kementeriannya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk ancaman dan perbuatan dilakukan mana-mana pihak yang mengganggu ketenteraman rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.