Aktiviti pasaran modal tempatan dijangka meningkat

Aktiviti pasaran modal tempatan dijangka meningkat

Malaysia perlu mengambil perhatian ke atas isu ekonomi dunia seperti perang dagang AS-China, selain isu Brexit dalam EU.

Pertumbuhan stabil dengan unjuran pertumbuhan ekonomi antara 4.8-4.9% memberi kestabilan dalam pasaran Malaysia dan diharap akan mengurangkan ketidaktentuan.
KUALA LUMPUR:
Aktiviti dalam pasaran modal tempatan dijangkakan meningkat pada suku kedua dan ketiga tahun ini selepas mengalami kelembapan pada 2018 berikutan asas ekonomi yang stabil, selain jaminan kerajaan dalam bentuk dasar dan tadbir urus yang memberi keyakinan.

Ketua pegawai eksekutif Perbankan Global Kumpulan Malayan, Muzaffar Hisham bagaimanapun berkata, negara perlu mengambil perhatian ke atas isu ekonomi dunia seperti perang perdagangan Amerika Syarikat-China selain Brexit dalam Kesatuan Eropah.

“Pada asasnya ringgit dilihat semakin stabil, inflasi dikawal dengan baik dan pelbagai dasar (yang jelas). Cabaran untuk Malaysia ialah isu global seperti Brexit dan perang perdagangan AS-China yang di luar kawalan.

“Namun, saya yakin kita boleh menanganinya memandangkan negara mempunyai pelbagai dasar (untuk menghadapinya),” katanya ketika ditemui di Invest Malaysia 2019, baru-baru ini.

Muzaffar berkata, pendapatan korporat pada 2018 juga bercampur-campur.

“Sektor kewangan mencatat prestasi yang baik, saya lihat sektor hartanah membuat sedikit pembetulan.

“Perlu dingat pada separuh pertama tahun lepas, jualan hartanah agak mendatar, namun saham pengguna agak baik. Tahun lepas kita melihat gabungan pendapatan yang menurun dan meningkat dalam sektor tertentu,” katanya.

Menurut laporan tahunan Suruhanjaya Sekuriti 2018 yang dikeluarkan baru-baru ini, permodalan pasaran ekuiti Malaysia menguncup 10.8% kepada RM1.7 trilion pada 2018 daripada RM1.9 trilion pada 2017, ketika perkembangan luaran yang mencabar.

Laporan tahunan itu menunjukkan walaupun pasaran saham domestik bermula pada kedudukan yang kukuh, namun ditutup lebih rendah menjelang akhir tahun pada 1,690.58.

Antara faktor penyumbang ialah tekanan luar daripada ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara AS dan China, ketidaktentuan mengenai pengetatan dasar monetari AS, kebimbangan mengenai penularan dari ekonomi pesat membangun, selain harga minyak tidak menentu.

Muzaffar juga berkata, pakar ekonomi membincangkan secara terperinci mengenai potensi masa berlakunya pertumbuhan ekonomi yang perlahan pada akhir tahun atau pada 2020.

“Saya berpendapat sektor korporat, pembuat dasar dan institusi kewangan di Malaysia perlu bersedia terhadap kemungkinan berlakunya kemelesetan teknikal di seluruh dunia, sama ada di Amerika atau China memandangkan mereka mengumumkan mengenai pertumbuhan yang lebih perlahan.

“Namun kita menyaksikan pertumbuhan stabil dengan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia oleh ramai pakar ekonomi dan kerajaan antara 4.8-4.9%.

Ini memberikan kestabilan (dalam pasaran) dan diharapkan akan mengurangkan ketidaktentuan.

“Pasaran modal akan meningkat memandangkan syarikat dan perbadanan perlu membangunkan modal masing-masing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.