Kedudukan ekonomi Kulim lebih strategik berbanding Pulau Pinang, kata penganalisis

Kedudukan ekonomi Kulim lebih strategik berbanding Pulau Pinang, kata penganalisis

Kedudukan Kulim strategik dan berpotensi menjadi pusat kargo terbesar di wilayah utara Malaysia.

Putrajaya baru-baru ini mengumumkan beberapa projek berimpak tinggi di Kedah, termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang bernilai RM1.6 bilion. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pembinaan lapangan terbang di Kulim mampu merangsang ekonomi berkali ganda berbanding sekadar bergantung kepada Pulau Pinang, kata Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Pengurus pembangunan perniagaan Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, tidak ramai sedar bahawa kedudukan Kulim sangat strategik dan berpotensi menjadi pusat kargo terbesar di wilayah utara Malaysia.

“Ini merupakan satu langkah strategik kerana pembinaan lapangan terbang di Kulim lebih bertujuan memberi perkhidmatan kargo kepada industri dan membuka ruang kepada pengilang meluaskan kilang mereka di kawasan lebih murah dan tidak sesak berbanding di Pulau Pinang,” katanya kepada FMT.

Kata Razman, pembinaan lapangan terbang Kulim bagaimanapun tidak akan merencatkan ekonomi di Pulau Pinang seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya membantu negeri itu mencapai taraf hab kewangan antarabangsa seperti Singapura.

“Strategi yang boleh dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang ialah menjadi hab kewangan dan juga perkhidmatan, seperti Singapura.

“Mereka tidak memerlukan kawasan yang besar untuk beroperasi, namun masih mampu menguasai logistik perkapalan. Ini sesuatu yang belum dapat dilakukan oleh Kedah,” katanya.

Penganalisis ekonomi tempatan Prof Madya Abu Sofian Yaacob bagaimanapun kurang bersetuju dengan pembinaan lapangan terbang Kulim kerana jaraknya terlalu dekat dengan lapangan terbang Pulau Pinang.

“Sepatutnya tidak perlu sebab lapangan terbang Pulau Pinang boleh dinaik taraf dan membantu menaikkan ekonomi di Kulim serta Kedah secara keseluruhan. Cuma perlu ada kerjasama kedua-dua kerajaan negeri dalam memastikan langkah tertentu diambil bagi memajukan ekonomi di wilayah utara,” katanya.

Baru-baru ini Putrajaya mengumumkan beberapa projek berimpak tinggi di Kedah, termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang bernilai RM1.6 bilion.

Kerajaan turut meluluskan pembinaan Lebuhraya Koridor Utara Fasa 1A dari Bandar Baharu ke Sungai Petani serta Fasa 1B dari Bandar Baharu ke Jambatan Sultan Abdul Halim yang bernilai RM1.7 bilion.

Ia juga meluluskan pembinaan Perpustakaan Digital di Alor Setar (RM15 juta), pembangunan Hab Industri Pembuatan & Logistik di Sidam (RM300 juta) dan pelaksanaan kajian impak untuk pembinaan Taman Industri Petro-Kimia di Gurun (RM2 juta).

Peruntukan pembinaan lapangan terbang Kulim dipersoalkan pelbagai pihak kerana setakat ini Kedah mempunyai 2 lapangan terbang, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

Jarak antara Kulim dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang adalah 45km, manakala jaraknya dengan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas adalah 127km.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.