Badan pemikir gesa Putrajaya dedah laporan CEP

Badan pemikir gesa Putrajaya dedah laporan CEP

Ideas berkata, penemuan CEP sepatutnya didedahkan kepada umum dari awal lagi.

Pengerusi CEP, Daim Zainuddin (2 dari kanan) mempengerusikan sidang media bersama ahli lain di Menara Ilham, pada 20 Ogos lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Putrajaya mengekalkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata, penemuan CEP sepatutnya didedahkan kepada umum sejak awal lagi.

“CEP ditubuhkan dengan matlamat membincangkan isu nasional dan memberi cadangan kepada kerajaan,” kata eksekutif kanan Ideas, Aira Azhari dalam satu kenyataan hari ini.

“CEP mengadakan mesyuarat dengan pelbagai badan bukan kerajaan, pegawai kerajaan dan ahli akademik sepanjang perkhidmatan mereka dan rakyat berhak tahu hasil mesyuarat ini.”

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin dilaporkan berkata, laporan CEP akan kekal di bawah OSA kerana ia mengandungi maklumat sulit.

Sebelum ini, ahli CEP, KS Jomo berkata, laporan itu tidak patut didedahkan kepada umum kerana ia mengandungi maklumat sensitif yang boleh disalahgunakan.

Bagaimanapun, Aira mencadangkan kerajaan memberi petunjuk kepada rakyat “apa sebenarnya dalam laporan itu yang kita tidak patut tahu”.

“Lagipun, sebarang maklumat yang benar-benar sulit boleh disunting.”

Beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung penggunaan OSA yang disifatkannya “perkembangan membimbangkan di Malaysia Baru”.

“Satu daripada janji utama dalam Buku Harapan ialah mengkaji semula OSA.

“Bukan saja ini langkah ke belakang dalam pelaksanaan janji ini, penggunaan OSA untuk mengecualikan orang ramai daripada perdebatan sah mengenai hala tuju masa depan Malaysia sama seperti tidak mempercayai rakyat dengan maklumat yang diperlukan untuk membawa perdebatan politik ke tahap lebih tinggi.”

Beliau menggesa Pakatan Harapan tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu kerana mereka tidak boleh membiarkan komitmen ketelusan dan akauntabiliti kerajaan terus dipersoalkan rakyat.

“Kami menggesa kerajaan berpegang kepada janjinya dan komited menggubal Akta Kebebasan Maklumat seperti tertera dalam Buku Harapan dan Pelan Anti-rasuah Nasional 2019-2023.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.