
Katanya, kereta terbang itu boleh beroperasi dengan pemandu atau tanpa pemandu.
“Prototaip itu sedang dibina. Apa yang kita lihat semalam di LIMA 2019 itu model skala kecil. Kenapa, ingat itu kipas KDK ke? Tidak,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Beliau ditanya adakah reka bentuk kereta terbang Malaysia sama seperti model ditunjukkan kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di LIMA ’19 semalam.
Ramai pihak mempertikaikan model kereta terbang yang dibangunkan sebuah syarikat tempatan, Aerodyne Sdn Bhd, di media sosial termasuk bekas perdana menteri, Najib Razak yang memuat naik status “Salam Empat Kipas” di Facebooknya.
Redzuan turut memerli mereka yang mengecam model kecil kereta terbang itu.
“Mereka boleh pilih sama ada hendak terus di belakang, menafikan perkara itu. Duduk bawah buluh pun tidak mengapa, hendak naik kereta buat daripada buluh pun tidak mengapa.
“Prototaip ini dibina anak Malaysia, ia dibina di Jepun. Kenapa ia dibina di sana? Kerana di sini belum ada ekosistem yang boleh membangunkannya.”
Beliau berkata, kritikan adalah perkara biasa kerana pihaknya sedang memfokuskan usaha membangunkan modal insan dan mendidik masyarakat mengenai isu kereta terbang.
“Kita tidak boleh terbang sesuka hati, kena ada lapangan terbang atau helipad. Jadi, undang-undang kena diwujudkan dan rangkanya sedang kita mulakan sebelum LIMA ’19 dengan Majlis Pembangunan Negara.”