
Sambil menahan air mata kegembiraan, Roisah berkata, dia hampir tidak percaya sedang memegang surat yang mengesahkan kelulusan permohonan kerakyatannya.
“Saya terkejut dan teruja. Perkara pertama saya nak lakukan ialah memohon Pas Perjalanan Tanpa Had MyRapid (yang layak dimohon oleh rakyat Malaysia sahaja).
“Ini adalah hadiah awal hari jadi saya,” kata Roisah, yang akan menyambut hari jadinya ke 22 pada 25 April ini.
Gadis itu berterima kasih kepada Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang meluangkan masa pergi bersamanya mengambil surat kelulusan tersebut pagi ini.
Surat tersebut hanya boleh diambil oleh keluarga angkat.
“Saya juga berterima kasih kepada Encik Sathiya. Sejak saya dalam Tingkatan 1 hingga saya berumur 22, beliau terus menolong saya berhubung prosedur permohonan berkenaan,” katanya, merujuk kepada M Sathiya, anggota biro kebajikan sosial PKR Kapar, yang turut hadir hari ini.
“Guru-guru saya juga turut membantu. Anda tahu siapa anda. Terima kasih,” kata Roisah ketika ditemui pemberita selepas menerima surat kelulusan kerakyatannya di Kementerian Dalam Negeri.
Roisah dilahirkan di sebuah klinik di Klang. Ayahnya rakyat Malaysia, sementara ibunya warga asing. Dia kemudian diletakkan di bawah jagaan keluarga ayahnya.
Roisah tinggal bersama ibu angkatnya hingga wanita itu meninggal dunia pada 2014. Dia tidak lagi mempunyai penjaga yang sah selepas itu.
“Pada 2013 saya sedar tentang pentingnya saya memiliki kad pengenalan untuk masuk sekolah menengah awam.
“Masa itu kami cuba mohon sijil kelahiran, tetapi hanya dibenarkan sijil keluarga angkat.
“Sementara menunggu kelulusan permohonan kerakyatan Malaysia, saya terus belajar, tetapi diklasifikasikan sebagai pelajar asing dan perlu bayar levi RM240 setiap tahun kepada Kementerian Pendidikan,” katanya.
Masalahnya tidak berhenti di situ. Ketiadaan kad pengenalan turut menjejaskan penyertaannya dalam kegiatan sekolah.
“Saya aktif dalam pasukan kawad, tetapi tidak dapat menyertai pertandingan peringkat negeri sebab saya perlu ada kad pengenalan untuk mengambil bahagian.
“Apabila saya mencapai umur untuk membuka akaun bank, saya tidak dapat lakukannya. Saya juga tidak boleh miliki lesen memandu.
“Nak dapat rawatan perubatan pun saya kena pergi ke klinik swasta. Bayarannyanya tinggi,” katanya.
Selepas 5 tahun menunggu, permohonannya untuk mendapat kerakyatan Malaysia tidak berjaya. Tiada alasan diberikan.
Roisah menyedari hakikat dia hanya dapat melanjutkan pelajaran ke universiti awam sekiranya dia memiliki kad pengenalan Malaysia.
Pada masa itu, katanya, dia sendiri sudah berputus asa untuk memohon masuk ke universiti awam.
“Bagaimanapun tahun lalu, selepas kisah saya disiar dalam media, Universiti Tun Abdul Razak menawarkan biasiswa kepada saya. Itu sahaja caranya untuk saya lanjutkan pelajaran,” katanya.
Roisah menarik perhatian Zuraida apabila permohonan mendapatkan kad pengenalan Malaysianya ditolak tahun lalu.
Peguam N Surendran dan Latheefa Koya dari Lawyers for Liberty bersama-sama Zuraida, yang ketika itu ahli Parlimen Ampang berusaha untuk menolong Roisah, dengan menghubungi Ahmad Zahid Hamidi, yang ketika itu menteri dalam negeri, tetapi tidak berjaya.
Hanya pada masa itu Zuraida menyedari permohonan Roisah untuk mendapat kerakyatan ditolak disebabkan ketiadaan penjaga yang sah.
Zuraida kemudian mengambil inisiatif untuk memfailkan permohonan menjadi ibu angkat Roisah untuk membolehkan permohonan baru dibuat.
Kini, setelah mendapat kelulusan itu, Roisah berharap sistem permohonan kewarganegaraan dapat diperbaiki.
“Sebenarnya sistem itu ada kelemahan. Saya percaya kalau sistem berfungsi, masalah ini tidak timbul dan sistem ini akan adil kepada semua,” katanya.
“Saya berharap permohonan untuk mendapatkan kerakyatan oleh orang lain pada masa depan dapat dipercepatkan.
“Tidak sedap apabila orang bertanya mengenai status kewarganegaraan saya sedangkan saya dilahirkan di negara ini.
“Saya cakap pun macam orang Malaysia. Apa lagi nak saya buat untuk buktikannya,” katanya.
.
Sathiya berkata, beliau berasa sebak hanya dengan melihat surat kelulusan tersebut.
“Saya usahakan selama 8 tahun untuk kes ini dan saya sangat gembira apabila Roisah akhirnya keluar dari bangunan ini sebagai seorang rakyat Malaysia.
“Apakah kesalahannya hingga dia menanggung masalah ini? Mengapa buli anak-anak seperti dia? Ibu bapa yang tidak bertanggungjawab yang sepatutnya dihukum,” katanya.
Beliau berkata, terdapat banyak lagi kes seperti itu dalam masyarakat.
Ketika ditemui pemberita, Zuraida berkata, beliau membuat permohonan untuk menjadi ibu angkat pada 2018 bagi memastikan Roisah mempunyai peluang untuk membuat permohonan baru.
“Kerajaan sedang berusaha berbuat sesuatu. Satu operasi besar-besaran untuk mengatasi isu ini. Prosesnya perlu dipercepatkan untuk golongan ini,” katanya.