Jangan buat andaian kenyataan saksi dalam inkues Adib, kata Muhyiddin

Jangan buat andaian kenyataan saksi dalam inkues Adib, kata Muhyiddin

Seorang jururawat IJN, melalui akaun Facebooknya mengkritik pakar forensik HKL, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang berkata kecederaan Adib bukan sebab diserang.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.
KUALA LUMPUR:
Orang ramai diminta tidak membuat andaian melulu berdasarkan kenyataan saksi dalam kes kematian abggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim kerana dikhuatiri akan mengganggu sesi inkues yang sedang berjalan ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, beliau sendiri tidak mahu membuat sebarang andaian walaupun sudah mengetahui keterangan beberapa saksi.

“Apa yang diketahui, kita masih di peringkat inkues dan mahkamah masih mendengar keterangan saksi. Biar mereka panggil semua saksi dan buat keputusan.

“Saya tak boleh nak buat andaian sehingga inkues dan pihak koroner selesai buat siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, petang tadi.

Kata Muhyiddin, beliau juga enggan mengambil sebarang tindakan meskipun terdapat gesaan pihak tertentu supaya tangani kes ini dengan segera.

“Kita pun tak boleh nak buat tindakan apa-apa lagi sebab saya tak nak buat keputusan berdasarkan andaian. Sebab itu inkues diadakan supaya kita dapat laporan yang profesional dan memuaskan hati semua pihak.

“Jadi kita tak mahu ada tohmahan atau andaian. Kalau kita buat keputusan awal-awal nanti ada orang pertikai. Setakat ini kes ini belum selesai dan kita perlu sabar sajalah,” katanya.

Semalam, jururawat Institut Jantung Negara (IJN), Siti Syafika Amira Mohd Rasani atau dikenali sebagai Cik Miera tampil meminta maaf kepada Mahkamah Koroner kerana mengeluarkan kenyataan beremosi menerusi akaun Facebooknya.

Katanya, dia telah membuat dakwaan tanpa mengetahui fakta sebenar mengenai keadaan Adib.

“Saya mendengar daripada rakan saya bahawa Adib ada memberitahu dia telah dipukul dan saya percayakannya.

“Saya mungkin agak beremosi apabila membaca mengenai berita Adib di media sosial,” katanya.

Siti Syafika merujuk kepada pembantu perubatan IJN, Ashraf Baruji yang memberi keterangan dalam inkues berkenaan bahawa Adib telah menyatakan kepadanya yang beliau ditarik dari belakang dan dipukul semasa rusuhan kuil Seafield tahun lepas.

Siti Syafikah memohon maaf kepada mahkamah atas kenyataannya itu sekali gus memberitahu akaun “Cik Miera” dalam laman sosial itu tidak lagi aktif.

Minggu lalu, Siti Syafika, melalui akaun Facebooknya mendakwa bahawa beliau melihat lebam di muka dan badan Adib.

Dia juga mengkritik pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang mengatakan kecederaan Adib bukan sebab diserang.

Kenyataannya mengundang reaksi pelbagai pihak termasuklah Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan pihak IJN sendiri.

Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di IJN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.