Khairy gelar Nga ‘Taliban’ di Dewan Rakyat

Khairy gelar Nga ‘Taliban’ di Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian ketika bertanya kerajaan PH sama ada ia akan mencontohi BN memberi bantuan RM450 kepada orang bujang dalam kumpulan B40 selepas PRK Rantau.

Nga Kor Ming meminta Khairy Jamaluddin menarik balik gelaran ‘Taliban’ yang dilemparkan terhadapnya.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat hari ini, apabila menggelar Timbalan Speaker, Nga Kor Ming sebagai “Taliban” yang memintanya mengulangi soalan mengenai Bantuan Sara Hidup (BSH).

Khairy (BN-Rembau) berkata, bantuan tunai RM450 yang diberikan kerajaan Barisan Nasional kepada golongan bujang dalam kumpulan B40 akan dinaikkan kepada RM600, jika ia menang dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

Di bawah skim BSH, katanya, tiada elaun untuk orang bujang, tetapi kerajaan baru berjanji memberi RM100 kepada golongan itu selepas pilihan raya kecil Semenyih.

Beliau kemudiannya bertanya jika kerajaan akan menggunakan peruntukan daripada rang undang-undang perbekalan tambahan untuk tujuan itu.

“Selepas PRK Rantau, adakah kerajaan akan menaikkannya kepada RM450 seperti dilakukan BN?” soalnya.

Ketika Nga memintanya mengulangi soalan itu, Khairy berkata: “Adakah anda ada masalah memahaminya, Taliban?”

Nga kemudiannya mengarahkan Khairy menarik balik kenyataannya dan bekas ketua Pemuda Umno itu berjanji akan menarik balik perkataan “Taliban”.

“Adakah anda ada masalah memahami soalan saya?” soal Khairy sekali lagi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjawab soalan Khairy dengan berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan wang daripada bajet tambahan untuk tujuan itu kerana ia untuk kegunaan belanjawan persekutuan.

Katanya, kerajaan PH juga tidak akan menaikkan kadar BSH.

“Ini untuk tahun lepas. Bagaimana ia boleh dinaikkan tahun ini? Saya harap anda selidik dulu,” katanya kepada Khairy.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.