Wang Kelian: Suhakam persoal kurang perkongsian maklumat antara agensi

Wang Kelian: Suhakam persoal kurang perkongsian maklumat antara agensi

Suhakam berkata pedagang haram keluar masuk sempadan tanpa menimbulkan syak adalah membimbangkan.

Gambar fail.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata kurang perkongsian maklumat risikan antara agensi-agensi penguatkuasaan yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand menyebabkan kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis lambat ditemui.

“Kenapa kurang berkongsi maklumat risikan? Setiap pihak penguatkuasa ada risikan masing-masing.

“Kalau ada pihak tahu tentang pergerakan di sempadan, mengapa tidak dikongsi?” kata Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph di sesi perbincangan ahli panel.

Perbincangan diadakan semasa pelancaran laporan penyiasatan bebas mengenai kem pemerdagangan manusia dan kubur beramai-ramai di Wang Kelian, bertajuk “Sold Like Fish”, yang dihimpunkan oleh Suhakam dan NGO, Fortify Rights.

Ahli panel lain adalah Angkana Neelapaijit, ketua Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Thailand; Sharifah Shakirah, ketua pemberdayaan wanita di Wanita Rohingya Malaysia; Matthew Smith, CEO Fortify Rights; dan Roger Polack, penasihat undang-undang Fortify Rights.

Joseph berkata pedagang haram keluar masuk sempadan tanpa menimbulkan syak adalah membimbangkan.

Beliau berharap Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat membongkar aliran wang sindiket pemerdagangan manusia, yang dikatakan mencecah AS$100 juta (RM408 juta).

Joseph tidak percaya kem pemerdagangan manusia boleh didirikan di Malaysia tanpa berpakat dengan beberapa pihak.

Beliau berkata 4 warga Bangladesh yang ditahan berhubung pedagang haram pelarian Rohingya di sempadan Malaysia-Thailand hanya pekerja bawahan.

Sebaliknya, perbicaraan satu sindiket penyeludupan di Thailand membawa kepada pensabitan 62 pedagang haram, 9 daripadanya adalah pegawai kerajaan.

Smith bersetuju dan berkata pihaknya semakin sukar untuk percaya hanya 9 pegawai kerajaan di Thailand bertanggungjawab untuk perdagangan hamba zaman moden sebesar itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.