
“Kalau hendak jalankan aktiviti kutip dana ini, PIBG kena bertanggungjawab. Buat satu majlis supaya semua orang boleh pantau duit itu, kalau melalui derma macam mana hendak pantau?
“Kita hendak elakkan guna kanak-kanak untuk pergi ke tempat awam bagi tujuan mengutip duit, tolong hentikan kepada mereka yang berhasrat bertindak sedemikian. Kalau hendak beri, berikan kepada NGO yang berdaftar,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Yeoh berkata, ada peruntukan di bawah Akta Kanak-kanak yang menghalang golongan itu dieksploitasi bagi tujuan mengemis atau meminta sedekah daripada orang ramai.
“Kalau kita lihat ada sindiket orang dewasa yang menggunakan kanak-kanak untuk mengemis, kadang-kadang kanak-kanak itu memakai ‘uniform’, sebenarnya semua kanak-kanak tidak boleh jalankan aktiviti mengemis.”
Beliau turut mengingatkan orang ramai berwaspada terhadap sindiket atau institusi berkaitan agama yang mempergunakan kanak-kanak untuk mengutip derma.
“Orang awam kena berhati-hati dengan pihak yang menggunakan agama, tidak kisahlah rumah ibadat agama mana pun. Jangan gunakan kanak-kanak untuk mengemis.”
Pada 21 Mac lalu, pengendali Pusat Jagaan Anak-anak Cahaya Amal Bistari di Kedah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Sungai Petani kerana mengambil bahagian dalam pengurusan pusat jagaan tidak berdaftar.
Tertuduh, Zainal Abidin Abu Samah, 56, mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan.
Ia selepas kerajaan Kedah mengarahkan rumah anak yatim yang beroperasi di sederet 14 rumah kedai di Taman Pekan Baru, ditutup kerana tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, serta mengeksploitasi kanak-kanak untuk mengutip derma.
Seramai 109 kanak-kanak kemudiannya diserahkan kepada ibu bapa mereka, manakala 11 lagi anak yatim dipindahkan ke JKM.