
“Ops Kota Raya” dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayisa tahun lalu untuk membanteras sindiket pelacuran berselindung di sebalik operasi pusat urut yang dilindungi penguat kuasa.
Qairul Redza Mohd Nadzri, Khairil Faezi Mohd Aziz, Sherman Salleh, Faizal Miza Zakariah dan Mohd Fadzli Jamaluddin, masing-masing mengaku tidak bersalah di depan Hakim Azman Ahmad, Azura Alwi serta Rozina Ayob selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.
Qairul Redza, 35, pembantu tadbir di Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, berdepan satu pertuduhan meminta rasuah RM30,000 dan 2 pertuduhan menerima rasuah RM13,000 serta RM15,000 berhubung perniagaan rumah urut.
Dia yang diwakili peguam, Noor Mousa Azaddin, dituduh melakukan 3 kesalahan meminta dan menerima rasuah daripada Gilbert Juin anak Damu sebagai dorongan mendapatkan lesen rawatan kesihatan dari Jabatan Pelesenan dan Pembangunan DBKL untuk menjalankan perniagaan rumah urut.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di 2 tempat berbeza, iaitu Coffee House di Menara Commerce, Jalan Raja Laut dan Angel Massage Centre di Blok F-45-1, Platinum Walk, No 2 Jalan Langkawi, Setapak, pada 4, 10 dan 27 April 2018.
Bagi kesalahan pertama, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan bagi kesalahan ke-2 serta ke-3 mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Qairul Redza diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan. Dia juga diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.
Di depan Hakim Rozina, Khairil Faezi yang juga pembantu tadbir DBKL dan Qairul Redza didakwa secara bersama meminta suapan RM1,500 daripada individu sama sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap Angel Massage Centre.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Restoran Paparich No 1, Jalana Rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, Setapak, pada 10 malam 3 Mei 2018 mengikut Seksyen 16(a)(B) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Rozina membenarkan Khairil Faezi, 32, diikat jamin RM10,000 dengan 2 penjamin tanpa syarat tambahan, manakala Qairul Redza dibenarkan mengguna pakai jaminan dan syarat sama seperti ditetapkan Hakim Azman.
Hakim Azman dan Rozina menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes Qairul Redza dan Khairil Faezi.
Di depan Hakim Azura, Sherman, 42, yang merupakan ketua Balai Polis Setapak dan anggota polis, Faizal Miza, 35, didakwa secara bersama meminta suapan RM3,000 daripada Gilbert Juin sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap Angel Massage Centre.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Restoran Hayaki Kopitiam, 87-G, Jalan Langkawi, Platinum Walk, Setapak, antara 8 malam hingga 10 malam 27 November 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Sherman yang diwakili peguam, Ahmad Ishrakh Saad dan Faizal Miza yang diwakili peguam, Geethan Ram Vincent juga berdepan satu pertuduhan menerima suapan RM3,000 daripada individu sama sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap premis sama.
Sherman dan Faizal Miza dituduh melakukan kesalahan itu di Dobi Speedy Wash dan Restoran Ayam Gepuk Pak Gembus di Setapak pada 3 Disember 2018 dan 11 Januari 2019.
Sementara itu, Fadzli, 48, anggota bomba dari Bahagian Keselamatan Kebakaran Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, didakwa bersetuju menerima suapan RM500 daripada Gilbert sebagai dorongan untuk menyokong permohonan kelulusan lesen perniagaan premis Redantz KL Enterprise.
Dia yang tidak diwakili peguam dituduh melakukan kesalahan itu di premis Angel Massage Centre antara 8 malam hingga 11 malam 5 November 2018.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Sherman dan Faizal Miza diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan, manakala Fadzli diikat jamin RM7,000 bersama seorang penjamin dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali dan menetapkan 18 April untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Diana Nor Azwa, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Abdul Rashid Sulaiman.