Pakar forensik percaya Adib keluar sendiri dari van

Pakar forensik percaya Adib keluar sendiri dari van

Dr Ahmad Hafizam Hasmi percaya Adib keluar sendiri daripada van bomba kerana tiada kesan tarikan pada sebelah kiri si mati.

Pakar forensik berkata kecederaan tidak menunjukkan Adib dilanggar bahagian belakang van, dan tidak menunjukkan anggota bomba itu tersepit antara van dan trak bomba.
SHAH ALAM:
Pakar forensik yang membedah siasat Muhammad Adib Mohd Kassim percaya anggota bomba itu tidak ditarik keluar daripada van bomba, sebaliknya keluar sendiri daripada kenderaan itu.

Dr Ahmad Hafizam Hasmi dari Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur berpandangan begitu kerana tidak ada apa-apa kecederaan pada Adib yang menunjukkan dia dikeluarkan secara kasar daripada kenderaan itu.

“Tidak ada apa-apa kecederaan pada sebelah kiri si mati yang menunjukkan terdapat satu usaha kekasaran untuk keluarkan si mati atau ditarik dari kenderaan,” katanya kepada Mahkamah Koroner petang tadi.

Saksi ke-24 itu ditanya peguam Syazlin Mansor, yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, tentang kebarangkalian Adib ditarik keluar atau keluar sendiri daripada kenderaaan yang dinaikinya semasa rusuhan di kuil Seafield.

Hafizam kemudian diminta mengecam pakaian Adib dan butang yang hilang. Beliau juga ditanya apakah akan ada kesan pada tubuh Adib sekiranya pakaian itu ditarik.

“Ada butang baju yang tercabut, iaitu butang nombor 1, 2 dan 4. Butang 3 masih terpasang. Jika berdasarkan tercabutnya butang ini, dengan daya ini, mungkin akan ada kesan koyak pada baju.

Ahmad Hafizam Hasmi.

“Berdasarkan impak ini, kawasan tubuh yang bersentuhan dengan baju, dimana adanya kolar, akan menyebabkan geseran pada leher.

“Bagaimanapun, tidak dijumpai sebarang kecederaan pada leher si mati,” katanya.

Hafizam ditunjukkan rakaman video hari kejadian dan lakonan semula hari kejadian dan diminta menilai beberapa anggapan mengenai bagaimana Adib dilanggar kenderaan bomba.

Beliau berkata kecederaan pada tubuh Adib tidak menunjukkan anggota bomba itu dilanggar bahagian belakang van, dan tidak menunjukkan anggota bomba itu tersepit antara van dan trak bomba.

“Kalau dilanggar van, ia tidak akan menimbulkan kecederaan unik iaitu kepatahan dari tulang rusuk 1 hingga 7 pada bahagian belakang kirinya.

“Jika tersepit antara kenderaan, geseran yang berlaku bukan setakat menyebabkan kecederaan pada kanan dada mangsa sahaja. Jika kenderaan itu rendah, akan ada kecederaan juga pada bahagian punggung ke bawah,” katanya.

Hafizam dalam keterangannya pada Jumaat berkata kepatahan pada rusuk Adib menunjukkan anggota bomba itu dihentam pintu kiri van yang terbuka ketika kenderaan itu sedang mengundur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.