
Bagi pertuduhan pertama, lelaki berusia 63 tahun itu didakwa menyeleweng dana pusat itu sebanyak RM89,700.
Bagi pertuduhan ke-2 dan ke-3 pula, tertuduh didakwa menyeleweng RM621,172.50 dan RM300,495.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis AIAC di Jalan Sultan Hishamuddin di sini, antara 17 Ogos hingga 8 Disember tahun lalu.
Sundra didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda bagi setiap kesalahan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan memberitahu Hakim Azura Alwi yang dia mempunyai imuniti daripada sebarang pendakwaan, ketika pertuduhan dibacakan kepadanya.
Azura menetapkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Sundra menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Bagaimanapun, katanya, pasport itu boleh dikembalikan kepadanya, jika Sundra perlu ke luar negara.
Hakim turut menetapkan 3 Mei ini untuk sebutan kes.
Terdahulu, timbalan pendakwa raya, Kamal Bahrain Omar mencadangkan ikat jamin RM200,000.
Peguam, Baljit Sidhu memberitahu mahkamah, kerajaan sudah menulis surat kepada Pertubuhan Perundingan Perundangan Asia-Afrika (AALCO) untuk menarik balik imuniti Sundra, tetapi ia ditolak pertubuhan itu.
Sundra mendakwa AIAC, melalui perjanjian antarabangsa dan satu akta Parlimen, berada di bawah AALCO.
Baljit berkata, anak guamnya juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sepanjang siasatan dan tidak berisiko melarikan diri.
“Saya menggesa mahkamah mengenakan ikat jamin atas bon peribadi. Pasportnya tidak patut dirampas kerana itu bermakna hukuman berganda.”
Katanya, Sundra berada di Sungai Petani untuk menghadiri upacara keagamaan pada hujung minggu lalu, menyebabkan timbul kekeliruan apabila pihak berkuasa tidak dapat menghubunginya.
Tetapi, Kamal berkata, sama ada Sundra mempunyai kekebalan daripada sebarang pendakwaan, belum ditentukan mahkamah.
Katanya, walaupun Sundra bekerjasama sepanjang siasatan, tetapi dia gagal dihubungi minggu lalu apabila cubaan dibuat untuk memintanya hadir di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan semalam.